CIMA peruntuk RM590,000 untuk kajian konkrit mesra alam laut bersama USM

29/05/2025 - 16:39
Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 29 Mei - Cement Industries of Malaysia Berhad (CIMA) memperuntukkan sebanyak RM590,000 untuk menjalankan kajian bersama Universiti Sains Malaysia (USM) bagi membangunkan konkrit marin yang mesra alam sekitar.
Kajian itu akan dijalankan oleh Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) di USM, yang akan mengkaji reka bentuk, kegunaan di lapangan dan kesan struktur konkrit terhadap alam sekitar laut.
CIMA pula akan menyumbang kepakaran dalam penggunaan teknologi hijau dan bahan binaan lestari.
Pengarah Urusan CIMA, Hairol Azizi Tajudin berkata, penyertaan pihaknya dalam kajian tersebut menunjukkan komitmen syarikat untuk menyokong inovasi hijau, sejajar dengan moto syarikat, Transforming the Nation with Care.
"Kami ingin membantu menjaga alam sekitar termasuk iklim dan laut, sambil membina kemudahan yang kukuh dan sesuai untuk masa depan.
"Melalui kerjasama dan idea baharu seperti ini, kita boleh membina masa depan yang lebih lestari untuk negara," katanya dalam satu kenyataan susulan pemeteraian surat tawaran geran penyelidikan di CEMACS, USM.
Turut hadir pada cara tersebut ialah Pengarah Urusan Usains Infotech, Farid Wajidi Mat Yusoff dan Pengarah CEMACS, Prof. Dato’ Dr. Aileen Tan Shau Hwai.
Sementara itu, Shau Hwai menekankan kepentingan kerjasama antara syarikat dan universiti.
"Kerjasama ini tidak akan berjaya tanpa peranan penting beberapa individu seperti Allahyarham Prof. Dato’ Dr. Zulfigar Yasin dari USM, Pengerusi CIMA, Dato’ Zaiviji Ismail dan Datuk Bandar Pulau Pinang, Dato’ Ir. A. Rajendran," jelasnya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada CIMA kerana mengambil serius isu alam sekitar dan bekerjasama dengan penyelidik serta pihak berkuasa tempatan.
Kajian berkenaan katanya, akan membantu mengurangkan kesan pembangunan terhadap alam sekitar pantai dan menggalakkan amalan hijau di seluruh negara.
Kerjasama itu menunjukkan bagaimana pihak industri dan universiti boleh bergabung tenaga untuk menghasilkan rumusan yang membantu melindungi alam sekitar, memelihara pantai dan membina kemudahan yang tahan lasak.
Ia juga menyokong sasaran Malaysia untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - DagangNews.com
standard



