UOA Development teroka pasaran hartanah Johor bersama Uptown Haven

02/05/2025 - 11:41
Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 2 Mei - UOA Development Bhd, melalui anak syarikatnya, Regenta Development Sdn Bhd, bekerjasama dengan Uptown Haven Sdn Bhd untuk membeli dan membangunkan projek hartanah di Johor.
Kedua-dua pihak telah menandatangani perjanjian dan melanggan saham dalam Midtown Sanctuary Sdn Bhd, syarikat usaha sama yang akan memiliki dan membangunkan tanah itu.
UOA dan Regenta akan memegang 75% saham dalam Midtown, manakala 25% lagi dimiliki oleh Uptown Haven, sebuah firma pelaburan hartanah milik Ian Ong See-Yen.
Midtown telah menandatangani perjanjian jual beli dengan Symphony Access Sdn Bhd untuk membeli tanah pegangan bebas seluas 4,918.119 meter persegi di Johor Bahru pada harga RM62.4 juta.
Selepas langganan saham, modal berbayar Midtown kini berjumlah RM250,000.
UOA, melalui Regenta, memegang saham sebanyak RM187,499 atau 74.9996%, manakala Uptown Haven melanggan saham bernilai RM62,500 bersamaan 25%.
Regenta turut memegang saham nominal RM1.00 sebagai sebahagian daripada struktur pemilikan.
Projek itu melibatkan pembangunan servis apartmen untuk dijual kepada orang ramai.
UOA dan Uptown Haven turut bersetuju dengan beberapa terma tadbir urus penting, termasuk wakil lembaga pengarah, hak keutamaan pembelian saham dan pembahagian keuntungan mengikut pegangan saham masing-masing.
Usaha sama tersebut adalah langkah pertama UOA untuk mengembangkan operasi di luar Lembah Klang dan dijangka tidak memberi kesan besar kepada kewangan syarikat dalam masa terdekat. - DagangNews.com
standard

