
SELEPAS tiga dekad dalam dunia seni, penyanyi terkenal, Datuk Nora Ariffin kembali bergelar pelajar pada usia 53 tahun apabila diterima mengikuti pengajian sarjana di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi program Accreditation of Prior Experiential Learning for Qualifications (APEL Q).
Memilih Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, pemilik nama Wan Norafiza Wan Ariffin itu menitipkan syukur dan harapan untuk kembali mengejar impian sebagai anak seni yang berilmu.
"Alhamdulillah. Yeayyyy! I’m back to study pada usia 53 tahun selepas diberi peluang menyambung pengajian di UPSI melalui laluan APEL.Q.
"APEL.Q ialah laluan pengiktirafan pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu. Melalui laluan ini, pengalaman kerja, kemahiran, pengetahuan dan pencapaian seseorang boleh dinilai serta diiktiraf sebagai sebahagian daripada proses melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
"Sejak dahulu, saya percaya pada kepentingan pendidikan dan ilmu. Sebagai anak seni, saya juga sentiasa menyimpan impian untuk terus belajar. An artist with brains," kongsinya.

Mengimbas kembali perjalanan hidup dan kerjayanya, pelantun lagu Di Persimpangan Dilema dan Renungan Terakhir itu mengakui pengalaman selama lebih tiga dekad dalam industri seni banyak membentuk dirinya, bukan sahaja sebagai penyanyi, malah sebagai individu yang lebih tabah menghadapi cabaran.
"Lebih 30 tahun dalam industri muzik, bersama pengalaman dalam perniagaan, animasi, produksi dan pengurusan syarikat, banyak mengajar saya tentang disiplin, ketekunan, konsisten dan berdaya tahan.
"Selepas pemergian Allahyarham Johan Nawawi, kehidupan pula mengajar saya untuk berdikari, terus belajar dan berani memikul tanggungjawab baharu.
"Rupanya setiap pengalaman, cabaran dan jatuh bangun dalam hidup tidak pernah sia-sia. Semuanya menjadi bekal untuk langkah seterusnya," titipnya.
Dalam masa yang sama, Nora turut merakamkan penghargaan kepada insan tersayang serta mereka yang sentiasa memberikan sokongan terhadap perjalanan hidup dan kerjayanya.

"Terima kasih kepada suami atas restu, doa dan semangat. Buat anak-anak Mama, thank you for your love and support.
"Dan kepada sahabat serta peminat yang sentiasa bersama saya, terima kasih. Jangan jadikan usia sebagai penghalang untuk mengejar impian. Jangan malu untuk terus belajar.
"Pada usia 53 tahun, saya bukan bermula semula dari kosong, sebaliknya membina kehidupan berdasarkan segala pengalaman dan pengajaran yang telah saya lalui," kongsinya.
Sekadar info, Nora terjun dalam bidang seni selepas dinobatkan sebagai juara Bintang HMI pada tahun 1991.
35 tahun di dalam industri, penyanyi bersuara lunak ini memiliki enam album studio dan enam album kompilasi.
Sumber: Instagram





