sarah22/10/2026 - 10:21 Kredit Foto Facebook CIMB Niaga Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 22 Okt - CIMB Group Holdings Bhd menafikan rancangan untuk menswastakan anak syarikatnya di Indonesia, PT Bank CIMB Niaga Tbk, susulan laporan media mengenai kemungkinan bank itu dinyahsenaraikan daripada Bursa Efek Indonesia (BEI).
Penafian itu dibuat selepas berita melaporkan bahawa penswastaan merupakan antara pilihan yang dipertimbangkan berhubung keperluan pegangan saham awam minimum (free float) di Indonesia, selain penempatan saham kepada pelabur strategik dan tawaran awam semula.
CIMB dalam kenyataan hari ini menegaskan bahawa kumpulan itu tidak membuat sebarang keputusan atau membentangkan cadangan rasmi berkaitan kemungkinan penswastaan CIMB Niaga.
"CIMB menafikan sekeras-kerasnya rancangan untuk menswastakan CIMB Niaga. Kumpulan tidak membuat sebarang keputusan atau membentangkan cadangan rasmi berhubung kemungkinan penswastaan CIMB Niaga," katanya.
Menurut laporan The Edge pada 21 Oktober, pilihan berkenaan menjadi perhatian susulan taklimat pengurusan CIMB kepada penganalisis pada 20 Oktober, dengan firma penyelidikan CIMB Securities melihat penswastaan sebagai antara pilihan strategik yang boleh dipertimbangkan.
Laporan itu turut menyebut bahawa pembelian baki saham pemegang saham minoriti CIMB Niaga dianggarkan memerlukan kira-kira RM800 juta, namun angka berkenaan merupakan anggaran penganalisis dan bukannya peruntukan yang telah diluluskan kumpulan.
Isu itu timbul susulan keperluan kawal selia Indonesia yang menetapkan pegangan saham awam minimum sebanyak 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028, sekali gus memerlukan CIMB menilai kedudukan pegangan sahamnya dalam bank tersebut.
Setakat 30 Jun 2026, CIMB memiliki 92.46% kepentingan dalam CIMB Niaga, menjadikan baki pegangan pemegang saham lain sekitar 7.54%, iaitu lebih rendah daripada paras minimum yang dilaporkan bakal dikuatkuasakan.
Bagaimanapun, CIMB menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai komponen penting dalam rangkaian operasi serantaunya dan kumpulan itu terus komited terhadap perniagaan perbankan di Indonesia.
"Kumpulan akan terus mematuhi semua garis panduan kawal selia yang berkaitan, termasuk keperluan pegangan saham awam minimum, secara teratur dan dalam tempoh yang ditetapkan," menurut kenyataan itu.
CIMB yang disenaraikan di Bursa Malaysia merupakan penyedia perkhidmatan kewangan kedua terbesar negara dari segi aset, dengan permodalan pasaran kira-kira RM80.1 bilion setakat 30 Jun 2026.
Kumpulan perbankan itu mempunyai operasi di tujuh negara ASEAN, termasuk Indonesia dan Thailand, dengan pegangan sebanyak 94.83% dalam CIMB Thai, selain mengendalikan 524 cawangan runcit dan menggaji lebih 33,000 pekerja setakat akhir Jun lalu.- DagangNews.com






