CIMB Securities naikkan unjuran kemenangan kontrak Gamuda kepada RM22 bilion pada FY26

31/07/2025 - 11:50
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 31 Julai - Kemenangan kontrak Gamuda Berhad bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2026 (FY26) kepada RM22 bilion dan RM25 bilion bagi FY27 selepas kumpulan itu disenarai pendek untuk dua projek pembangunan di Sydney, Australia, kata CIMB Securities.
Katanya, bidaan tersebut berpotensi membuka peluang kepada lebih banyak projek di dalam projek Sydney Metro West yang dijangka menjadi projek metro terbesar Sydney dengan anggaran kos AS$25.3 bilion (RM69 bilion).
Gamuda kini merupakan kontraktor utama bagi kerja-kerja penggalian terowong untuk Pakej Terowong Barat SMW, yang menghubungkan Sydney Olympic Park dan Westmead melalui usaha sama (JV) dengan Laing O’Rourke.
Kumpulan itu juga merupakan sebahagian daripada konsortium Metrovista, antara dua konsortium yang disenarai pendek untuk membina lima stesen metro bebas, dengan bahagian kerja efektif Gamuda dianggarkan bernilai sekitar RM6 bilion.
"Gamuda Engineering Pty Ltd, anak syarikat Gamuda, sedang meneroka kerjasama dengan MTR Corp (Australia) bagi pembangunan stesen bersepadu dan kawasan sekitar di Sydney Olympic Park.
"Ia termasuk pembinaan stesen metro dan pembangunan di atas stesen," katanya dalam satu nota kajian.
Pada Jun lalu, Gamuda turut disenarai pendek bagi merancang satu lagi usaha sama dengan Billbergia dan MTR Corp untuk projek pembangunan di atas stesen (OSD) di Daerah Perniagaan Pusat (CBD) Parramatta.
Prospek Gamuda diperkukuh oleh sokongan daripada MTR (Australia), anak syarikat milik penuh MTR Corp Hong Kong yang terkenal dengan model “rel-plus-hartanah”.
CIMB Securities berkata, MTR (Australia) merupakan rakan penghantaran utama bagi projek Sydney Metro Northwest dan kini mengurus operasi untuk Sydney Metro City & Southwest, di samping memegang kepentingan dalam rangkaian kereta api metropolitan Melbourne.
Sehingga awal Julai, firma penyelidikan itu menganggarkan buku tempahan tertunggak Gamuda meningkat kepada RM37.2 bilion, termasuk RM18.4 bilion dalam kemenangan kontrak setakat ini bagi FY25.
Kumpulan itu kekal berada di landasan untuk mencapai sasaran akhir tahun antara RM40 bilion hingga 45 bilion.
"Momentum buku tender Gamuda kekal kukuh. Selain projek OSD di Australia, syarikat ini menyasarkan sekurang-kurangnya RM7 bilion dalam kontrak berkaitan pusat data dalam tempoh tiga bulan akan datang. Ia juga sedang membida kira-kira RM4 bilion setiap satu daripada projek bekalan air Ulu Padas dan Perak Utara," katanya.
Selain itu, syarikat telah memperoleh sekitar RM3 bilion kontrak baharu daripada projek seperti LRT Pulau Pinang, kerja jalan raya di Malaysia Timur, Lebuhraya Northland Corridor di New Zealand, dan Lebuhraya Sunshine Coast di Brisbane.
Ia juga memperoleh bahagian tambahan kerja bernilai RM8.1 bilion daripada projek Laluan MRT Xizhi Donghu di Taiwan.
Dengan jangkaan lebih tinggi terhadap kemenangan kontrak baharu Gamuda, CIMB telah menaikkan unjuran keuntungannya bagi tahun kewangan FY26 hingga FY28 sebanyak 3% hingga 5%.
CIMB Securities menjangkakan keuntungan FY28 mencecah RM2.1 bilion, peningkatan sebanyak 21.5% berbanding FY27.
Firma penyelidikan itu turut menaikkan harga sasaran (TP) Gamuda kepada RM6.40 daripada RM5.50, berdasarkan diskaun 15% ke atas nilai aset bersih yang dinilai semula.
“Dalam semakan harga sasaran kami, kami menilai saham ini pada gandaan PE (harga kepada pendapatan) sektor pembinaan yang lebih tinggi iaitu 23 kali (daripada 21 kali) dan menukar asas penilaian kepada tahun 2027,” katanya. - DagangNews.com
standard


