Syarikat bersekutu Dialog labur AS$330 juta selepas peroleh kontrak penyimpanan selama 25 tahun

LocalBusiness & Finance
30 Jul 2025 • 2:44 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Syarikat bersekutu Dialog labur AS$330 juta selepas peroleh kontrak penyimpanan selama 25 tahun

image is not available

30/07/2025 - 14:44

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Julai - Dialog Group Bhd menerusi syarikat bersekutunya, Pengerang Terminals (Two) Sdn Bhd (PT2) melabur sejumlah AS$330 juta (RM1.4 bilion) bagi meningkatkan kapasiti penyimpanannya di bandar penapisan minyak di Johor, selepas memperoleh perjanjian penyimpanan dan pengendalian selama 25 tahun bagi usahasama antara Petronas, Eni SpA dan Euglena Co Ltd.

Katanya, PT2 yang dimiliki 25% oleh Dialog, akan membangunkan kapasiti penyimpanan sebanyak 272,000 meter padu yang khusus untuk Pengerang Biorefinery Sdn Bhd (PBSB).

Perjanjian penggunaan terminal itu adalah di bawah mekanisme “take-or-pay” dan jumlah pelaburan tersebut juga merangkumi kos berkaitan kemudahan bersama di terminal.

Projek itu yang dijangka siap pada separuh pertama tahun 2028, akan memanfaatkan kecekapan daripada kapasiti dan infrastruktur sedia ada PT2SB, termasuk terminal perairan dalam khas miliknya yang berkhidmat untuk Pengerang Integrated Complex, katanya menurut Dialog dalam pemfailan yang mengumumkan kejayaan memperoleh kontrak tersebut.

“Projek pengembangan ini mengukuhkan pelaburan midstream Dialog dan menyokong pelan pembangunan di Pengerang Deepwater Terminals (PDT),” kata Dialog.

Pengerang yang meliputi keluasan tanah keseluruhan kira-kira 485.6 hektar, kini merangkumi empat terminal dan tiga jeti, manakala baki kira-kira 283.2 hektar tanah tambakan dan tanah penampan telah diperuntukkan untuk pembangunan masa depan.

Dialog berkata, langkah itu selaras dengan strategi syarikat untuk menjana pendapatan berulang, serta mempelbagaikan operasi dalam sektor tenaga dan segmen hijau, bagi menghadapi pelbagai kitaran ekonomi dan harga minyak.

“Dialog kekal komited untuk membangunkan Pengerang Deepwater Terminals sebagai hab petroleum dan petrokimia terbesar di rantau Asia-Pasifik,” katanya.

PBSB merupakan usahasama antara Petronas Mobility Lestari Sdn Bhd (42%), Enilive SpA (42.5%) dan Euglena Sustainable Investment Ltd (15%).

Petronas, Eni dan Euglena telah mencapai keputusan pelaburan muktamad untuk membina sebuah pusat pemprosesan di Malaysia pada Julai tahun lalu, dengan sasaran memproses 650,000 tan bahan mentah setiap tahun bagi menghasilkan bahan api penerbangan lestari, diesel boleh diperbaharui atau minyak sayuran terhidrogenasi, serta bio-nafta.

Selain Dialog, pemegang saham lain dalam PT2 ialah PRPC Utilities and Facilities Sdn Bhd yang berkaitan dengan Petronas (40%), Vopak Terminal Pengerang BV (25%), dan Permodalan Darul Ta’zim Sdn Bhd (10%), milik kerajaan negeri Johor.- DagangNews.com

standard