Cip Apple Bionic Yang Dibangunkan TSMC Di Amerika Syarikat Masih Perlu Dipasang Di Taiwan

TechnologyDigital
12 Sep 2023 • 6:27 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Apple merupakan pelanggan yang paling penting untuk pihak TSMC kerana mereka dilihat sebagai pelabur terawal dalam teknologi pengilangan cip pemprosesan mereka. Kini, dengan kilang pembuatan cip pemprosesan TSMC di Phoenix, Arizona sudah dibuka, Apple merupakan pelanggan pertama produk-produk yang keluar dari kilang tersebut.

Walaupun kilang tersebut mengeluarkan komponen-komponen untuk cip tersebut, komponen-komponen untuk cip pemprosesan Apple Bionic khususnya masih perlu dihantar kembali ke Taiwan untuk proses pemasangan ataupun packaging. Proses ini penting untuk memastikan bahawa cip pemprosesan ini untuk meningkatkan kecekapan penggunaan kuasa dan prestasinya, dan cip Apple Bionic menggunakan proses pemasangan unik yang dibangunkan oleh TSMC sejak 2016.

image is not available

Menariknya, perkara ini hanyalah untuk cip pemprosesan Apple Bionic sahaja. Untuk cip pemprosesan Apple M yang digunakan dalam peranti Mac, MacBook, iPad dan sebagainya, cip-cip tersebut boleh dipasang di kilang-kilang di luar Taiwan.

Untuk pelanggan-pelanggan Amerika Syarikat yang lain seperti AMD, NVIDIA dan Tesla, ia dilaporkan oleh The Information bahawa mereka juga dilihat menghadapi isu yang sama, dimana cip-cip yang dikilang dii Amerika Syarikat masih akan perlu dihantar ke Taiwan untuk melalui proses packaging ini.

image is not available

TSMC baru-baru ini telah siap membangunkan kilang pembuatan cip pemprosesan di Amerika Syarikat, dibantu oleh kerajaan melalui Akta CHIPS yang memberi suntikan kewangan untuk memastikan negara tersebut mempunyai bekalan cip pemprosesan yang mencukupi, khususnya selepas krisis yang membelenggu dunia sewaktu pandemik COVID-19.

TSMC, bersama-sama Intel, Samsung dan sebagainya adalah sebahagian daripada mereka yang mendapat potongan daripada suntikan $50 bilion untuk membangunkan infrastruktur-infrastruktur ini di negara tersebut.