Huawei memperkenalkan cip Kirin 9050 Pro di China, yang digambarkan sebagai satu lonjakan besar dari segi reka bentuk dan teknologi. Ia bukan sekadar naik taraf biasa tetapi cip mercu yang menggabungkan kuasa CPU, GPU, AI, dan modem dalam satu pakej.


Kirin 9050 Pro hadir dengan CPU LinxiCore yang dibangunkan sendiri oleh Huawei. Ia menggunakan gabungan teras utama, teras prestasi, teras kecekapan dan teras kecil untuk meningkatkan prestasi mengikut senario penggunaan. Hasil daripada reka bentuk ini, prestasi keseluruhan meningkat sehingga 42% dengan tambahan 24% lebih baik untuk satu teras dan 52% lebih baik untuk pelbagai teras.

Huawei melengkapkan Kirin 9050 Pro dengan GPU Maleoon baharu yang menyokong ray tracing perkakasan. Ia turut disertakan dengan lebih banyak unit pengiraan dan cache tambahan. Gabungan teknologi ini bantu meningkatkan prestasi grafik sehingga 142% lalu menjadikannya jauh lebih berkuasa untuk paparan dan permainan.

Selain itu, cip ini turut menggunakan Da Vinci NPU dengan kapasiti 30 bilion parameter, dibangunkan sendiri oleh Huawei. Ia membolehkan model multimodal MOE LLM dijalankan terus di dalam peranti tanpa bergantung kepada awan. Dengan pendekatan ini, fungsi AI dikatakan dapat beroperasi secara terus dalam peranti untuk memberikan kelajuan lebih pantas serta tahap keselamatan lebih terjamin.


Kirin 9050 Pro turut dilengkapi dengan modem Balong baharu yang menyokong komunikasi satelit. Ia juga hadir dengan sistem penyejukan berbilang saluran untuk kawalan haba yang konsisten serta ciri keselamatan mudah alih lebih baik bagi melindungi data pengguna. Cip mercu ini digunakan dalam Huawei Mate XT2.





