hamden28/05/2026 - 09:12 editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Mei - Prestasi kewangan Citaglobal Bhd bagi tempoh tiga bulan berakhir 31 Mac 2026 menunjukkan pemulihan memberangsangkan apabila segmen tenaga mula menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kumpulan.
Syarikat itu mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM7.9 juta dengan keuntungan bersih RM5.59 juta atau pendapatan sesaham 1.16 sen, manakala hasil direkodkan sebanyak RM66.97 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2026.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Aimi Aizal Nasharuddin berkata, pencapaian tersebut dianggap sebagai satu perkembangan positif selepas syarikat merekodkan kerugian pada suku sebelumnya.
“Prestasi ini memberi isyarat bahawa asas yang dibina dalam segmen tenaga mula memberikan hasil, namun fokus kami kini adalah memastikan momentum itu dapat dikekalkan secara mampan.
“Buku tempahan semasa bernilai RM1.4 bilion memberi keterlihatan pendapatan, tetapi pelaksanaan projek secara cekap kekal menjadi keutamaan untuk diterjemahkan kepada keuntungan dan aliran tunai,” katanya lapor The Star.
Sementara itu dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, Citaglobal memaklumkan segmen tenaga menyumbang hasil tertinggi sebanyak RM27.8 juta, diikuti kejuruteraan awam dan pembinaan (CEC) RM25.3 juta, pembuatan RM8.8 juta dan lain-lain RM5.1 juta.
Segmen tenaga turut merekodkan keuntungan sebelum cukai yang kukuh sebanyak RM18.1 juta, sekali gus membantu mengimbangi kerugian daripada segmen lain termasuk hartanah, CEC dan pembuatan.
Sebagai ganjaran kepada pemegang saham, syarikat turut mengumumkan dividen interim satu peringkat sebanyak satu sen sesaham biasa bagi tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2026.
Memperkukuh Asas Perniagaan
Menurut Aimi Aizal, pembayaran dividen itu mencerminkan pendekatan berhati-hati syarikat dalam mengimbangi pulangan kepada pemegang saham dan keperluan modal untuk pertumbuhan masa depan.
Beliau berkata, syarikat akan terus memberi tumpuan kepada peluang dalam sektor tenaga boleh diperbaharui termasuk projek berkaitan Large Scale Solar Five (LSS5) dengan pendekatan yang lebih selektif dan berdisiplin.
“Kami masih dalam fasa memperkukuh asas perniagaan. Fokus utama adalah meningkatkan konsistensi prestasi dan memastikan setiap projek memberikan nilai jangka panjang kepada kumpulan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, konsortium membabitkan Citaglobal dan Masdar dari Abu Dhabi sebelum ini berjaya memperoleh projek pembangunan loji solar fotovolta terapung berkapasiti 200 megawatt di Empangan Chereh, Kuantan.
Sehingga 31 Mac 2026, Citaglobal memiliki buku pesanan tertunggak bernilai RM1.4 bilion manakala segmen hartanah mempunyai baki nilai pembangunan kasar dianggarkan RM449 juta. - DagangNews.com






