Pendapatan CCK Consolidated hampir tidak berubah, kekal sekitar RM263 juta pada 1QFY2026

LocalBusiness & Finance
28 May 2026 • 5:29 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pendapatan CCK Consolidated hampir tidak berubah, kekal sekitar RM263 juta pada 1QFY2026 Image from: Pendapatan CCK Consolidated hampir tidak berubah, kekal sekitar RM263 juta pada 1QFY2026 liza28/05/2026 - 17:29 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 Mei – CCK Consolidated Holdings Berhad mencatat prestasi kewangan yang stabil bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (Q1FY2026), dengan keuntungan selepas cukai sedikit menurun walaupun pendapatan kekal hampir tidak berubah berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, CCK berkata ia merekodkan pendapatan sebanyak RM263.1 juta, sedikit susut 0.3% berbanding RM264 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun sebelumnya.

 

“Keuntungan sebelum cukai (PBT) pula berjumlah RM25.1 juta, berbanding RM26 juta pada Q1FY2025, manakala keuntungan selepas cukai turun kepada RM19.5 juta daripada RM20.2 juta sebelum ini.

 

“Keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemegang saham turut menyusut kepada RM17.07 juta berbanding RM17.50 juta pada tahun lalu, mencerminkan tekanan kecil daripada kos operasi dan faktor luaran,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Walaupun begitu, margin keuntungan kasar kumpulan menunjukkan peningkatan kepada 22.9% berbanding 21.8% pada tempoh sama tahun lalu, didorong pengurusan kos yang lebih baik dalam beberapa segmen utama.

 

Segmen runcit kekal menjadi penyumbang terbesar kepada kumpulan dengan hasil RM216.2 juta, disokong permintaan stabil terhadap barangan keperluan harian serta rangkaian kedai yang luas di Malaysia.

 

Segmen ini turut mendapat sokongan tambahan daripada operasi pengeluaran makanan diproses di Indonesia yang terus menunjukkan permintaan kukuh di pasaran serantau.

 

Segmen ayam ternakan pula mencatat peningkatan keuntungan sebelum cukai kepada RM6.1 juta berbanding RM5.5 juta sebelumnya, disokong kos makanan ternakan yang lebih stabil serta strategi penetapan harga yang berdisiplin.

 

Bagaimanapun, segmen udang mencatat penurunan hasil kepada RM16.5 juta berbanding RM23.3 juta tahun lalu, dipengaruhi permintaan eksport yang lebih lemah serta kesan turun naik mata wang asing.

 

Segmen perkhidmatan makanan mencatat peningkatan kecil kepada RM4.2 juta berbanding RM3.4 juta, disokong permintaan lebih tinggi daripada kontrak bekalan ke sekolah kerajaan di Sarawak.

 

Dari segi prestasi geografi, Malaysia kekal sebagai pasaran terbesar kumpulan dengan sumbangan RM197.7 juta, diikuti Indonesia yang menyumbang RM53.4 juta, walaupun terkesan susut nilai rupiah berbanding ringgit.

 

Aliran tunai operasi kekal positif pada RM6.9 juta, namun aliran tunai keseluruhan terjejas akibat pelaburan modal yang tinggi, termasuk perbelanjaan pembelian aset dan pembangunan operasi baharu.

 

Kumpulan turut mencatat kedudukan kewangan yang kukuh dengan jumlah aset RM765.9 juta dan ekuiti pemegang saham meningkat kepada RM569.3 juta, mencerminkan asas kewangan yang stabil.

 

Bagi prospek masa depan, CCK kekal optimis berhati-hati dengan tumpuan kepada pengembangan rangkaian runcit, penambahbaikan operasi serta pembangunan kemudahan baharu di Indonesia yang dijangka mula beroperasi pada tahun 2026.

 

Secara keseluruhan, kumpulan itu mengekalkan prestasi stabil walaupun berdepan cabaran luaran seperti inflasi, turun naik mata wang dan tekanan kos dan pada masa sama terus memberi tumpuan kepada pertumbuhan mampan jangka panjang. - DagangNews.com

Terkini standard
View Original Article