Citrawarna Speed Festival gabungkan kebudayaan, sukan permotoran

10 Sep 2026 • 5:10 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Citrawarna Speed Festival gabungkan kebudayaan, sukan permotoran

PETALING JAYA – Tourism Malaysia bakal menganjurkan Citrawarna Speed ​​Festival 2026 bermula dari 23 September hingga 4 Oktober 2026, menggabungkan kebudayaan Malaysia dengan keterujaan daripada sukan permotoran dunia.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, festival tersebut bakal menampilkan pameran kebudayaan, tarikan berinspirasikan sukan permotoran dan pengalaman interaktif kepada orang ramai sebagai sebahagian daripada Kempen Melawat Malaysia 2026–2027 (VM2026–2027).

“Acara tersebut bakal berlangsung di beberapa lokasi terpilih, termasuk IOI City Mall Putrajaya, Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Hotel Sama-Sama, dengan menampilkan dua komponen utama iaitu Colours of Speed dan Colours of Art & Culture, di samping itu terdapat juga pelbagai aktiviti sampingan yang dijadualkan untuk dipersembahkan di semua lokasi terlibat,” jelasnya.

Kenyataan itu menerangkan, bagi acara Colours of Speed, pe­ngunjung berpeluang menerokai pelbagai pameran yang diinspirasikan oleh dunia sukan permotoran serta pengalaman interaktif yang menarik.

Antara tarikan yang diketengahkan termasuk pameran koleksi memorabilia perlumbaan dan barangan bertandatangan, selain pameran kereta super ikonik.

Turut menjadi tarikan utama ialah pertandingan simulator perlumbaan di IOI City Mall Putrajaya, yang memberi peluang kepada orang ramai untuk me­nguji kemahiran pemanduan serta bersaing dalam peringkat kelayakan untuk melayakkan diri ke peringkat akhir, sekali gus me­rebut peluang memenangi hadiah yang disediakan.

Selain itu, festival ini turut mengetengahkan kepelba­gaian budaya Malaysia menerusi Co­lours of Art & Culture, yang menampilkan pelbagai persembahan kebudayaan, muzik dan tarian, di samping pameran kraf tangan serta aktiviti interaktif yang mencerminkan keunikan tradisi dan komuniti dari seluruh negara.

Kemuncak program kebudayaan pula ialah Colours of Parade, yang menghimpunkan seramai 1,500 penari dan penggiat seni budaya daripada pelbagai wilayah dan komuniti di seluruh Malaysia.

Citrawarna Speed Festival 2026 disokong oleh rakan strategik termasuk Yes Travel & Holidays Sdn. Bhd., IOI Properties, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Istana Budaya, Kraftangan Malaysia, Hotel Sama-Sama, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), SNS Network, SDeal Malaysia Sim Racing & Motorsport dan HP, antara lain.

Melalui penganjuran Citrawarna Speed Festival 2026, Tourism Malaysia berhasrat memanfaatkan daya tarikan sukan permotoran sebagai platform untuk menarik lebih ramai pelawat, khususnya dari pasaran antarabangsa, di samping memperkenalkan pengalaman budaya Malaysia yang unik dan kaya kepada pengunjung.

Usaha ini selari dengan prestasi positif sektor pelancongan negara apabila Malaysia merekodkan 21.1 juta ketibaan pelawat antarabangsa bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, meningkat 2.5 peratus berbanding 20.6 juta ketibaan dalam tempoh yang sama pada 2025.

Penganjuran acara berasaskan pengalaman seperti ini diharap dapat terus memperkukuh daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang menawarkan gabungan unik antara sukan, hiburan dan kepelbagaian budaya.

Festival ini dijangka turut merancakkan aktiviti pelancongan serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada komuniti setempat, di samping memupuk apresiasi terhadap warisan dan budaya Malaysia.

Ia sekali gus menyumbang kepada usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang dinamik, berdaya saing dan kaya dengan pengalaman.-KOSMO! ONLINE

The post Citrawarna Speed Festival gabungkan kebudayaan, sukan permotoran appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved