liza05/10/2026 - 15:44 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA TERENGGANU 5 Okt – Nasib 383 pekerja CJ Bio di Kerteh yang berdepan penamatan operasi syarikat itu mulai 15 Oktober ini diberi perhatian menerusi usaha kerajaan negeri untuk mendapatkan pekerjaan baharu bagi mereka, selain mencari pelabur yang boleh menggantikan operasi di tapak berkenaan.
Usaha itu digerakkan menerusi Terengganu Human Resource Development Centre (T-HRDC) yang akan memadankan maklumat pekerja terjejas dengan keperluan tenaga kerja industri berdasarkan kelayakan, kemahiran dan kepakaran masing-masing.
Pada masa sama, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) turun ke tapak operasi CJ Bio bagi menjalankan sesi temu duga berfokus untuk memberi peluang kepada pekerja mendapatkan tawaran pekerjaan baharu tanpa perlu menunggu sehingga operasi syarikat ditamatkan sepenuhnya.
Langkah itu merupakan antara usaha Kerajaan Negeri Terengganu bagi memastikan penamatan operasi CJ Bio tidak menyebabkan 383 pekerja berdepan tempoh tanpa pekerjaan yang panjang.
Penamatan operasi diputuskan ibu pejabat Korea Selatan
Pihak pengurusan CJ Bio mengesahkan penamatan operasi premisnya di Kerteh secara berperingkat mulai 15 Oktober ini telah diputuskan secara rasmi oleh ibu pejabat syarikat di Korea Selatan.
Keputusan tersebut dibuat berikutan cabaran ekonomi global, termasuk peningkatan harga bahan mentah serta persaingan harga yang amat sengit daripada pengeluar antarabangsa, khususnya China.
Penamatan operasi itu melibatkan keseluruhan 383 pekerja dan pihak CJ Bio memberi komitmen untuk mematuhi peruntukan Akta Kerja berkaitan penamatan perkhidmatan, termasuk pemberian pampasan mengikut syarat yang ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata Terengganu akan menghulurkan segala bentuk sokongan dan bantuan bagi memastikan kebajikan serta masa depan pekerja tempatan yang terlibat terus terjaga.
“Kerajaan negeri bersama agensi kerajaan negeri dan Persekutuan akan terus mendampingi pihak pengurusan CJ Bio bagi memastikan proses penamatan dan peralihan berkenaan berjalan lancar serta teratur,” katanya dalam satu kenyataan.
MIDA cari pelabur untuk gantikan operasi CJ Bio
Dalam perkembangan berkaitan, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) kini aktif mengenal pasti pelabur baharu yang bersesuaian untuk mengambil alih atau menggantikan operasi di tapak CJ Bio di Kerteh.
Kerajaan Negeri Terengganu turut bersedia membantu memudah cara urusan berkaitan tanah pajakan berkenaan supaya proses tersebut dapat dilaksanakan secara tersusun.
Usaha mendapatkan pelabur baharu itu dilihat penting bagi memastikan ekosistem industri di Kerteh terus berdaya saing dan tapak berkenaan boleh dimanfaatkan untuk aktiviti ekonomi baharu.
Dalam masa sama, kerajaan negeri berharap langkah padanan pekerjaan dan temu duga yang dilaksanakan dapat membantu kesemua 383 pekerja terjejas mendapatkan peluang pekerjaan baharu serta memastikan kebajikan mereka terus terpelihara.
Baru-baru ini tular di media sosial mengenai nasib semua pekerja itu yang bakal kehilangan sumber pendapatan dalam masa terdekat susulan penutupan operasi CJ Bio di Terengganu. - DagangNews.com





