MGB cari pelabur baharu Taman Perindustrian Kertih Terengganu

LocalBusiness & Finance
24 Sep 2026 • 2:28 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MGB cari pelabur baharu Taman Perindustrian Kertih Terengganu Image from: MGB cari pelabur baharu Taman Perindustrian Kertih Terengganu liza24/09/2026 - 14:28 Taman Perindustrian Kertih Terengganu Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Sept – MGB Bhd bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk mendapatkan pelabur utama pertama bagi Taman Perindustrian Kertih Terengganu (KTIP), dengan sasaran pelabur itu diumumkan pada 2027.

 

Kerjasama itu melibatkan usaha menarik pelabur ke kawasan pembangunan awal KTIP seluas kira-kira 202.3 hektar (500 ekar), dengan MIDA telah mencadangkan beberapa pelabur berpotensi kepada MGB.

 

Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB, Tan Sri Ir Dr Lim Hock San berkata perancangan infrastruktur bagi taman perindustrian itu telah mendapat kelulusan yang diperlukan daripada kerajaan negeri Terengganu untuk membolehkan kumpulan itu bergerak ke peringkat perbincangan dengan pelabur berpotensi.

 

Menurut beliau, MIDA kini mengemukakan beberapa syarikat yang berpotensi menjadi pelabur utama KTIP, manakala MGB dijangka memulakan rundingan secara langsung sebelum memilih projek pertama.

 

“Selepas keperluan perniagaan pelabur dimuktamadkan, pembangunan itu dijangka dilaksanakan berdasarkan konsep bina mengikut tempahan.

 

“Sama ada keseluruhan pembangunan akan dibuat mengikut tempahan atau tidak, saya fikir perkara itu akan berkembang dari masa ke semasa,” katanya.

 

Pembangunan mengikut keperluan pelabur

Lim berkata, nilai pembangunan KTIP akhirnya bergantung kepada tahap penyesuaian yang diperlukan oleh setiap pelabur, termasuk keperluan terhadap kemudahan dan infrastruktur khusus untuk operasi mereka.

 

Beliau berkata, MGB masih belum menetapkan tarikh siap yang khusus bagi fasa pertama KTIP kerana pembangunan akan bergerak mengikut keperluan pelabur yang berjaya diperoleh.

 

Katanya, keutamaan terdekat kumpulan adalah mendapatkan pelabur utama pertama pada 2027 sebelum pembangunan selanjutnya dapat dirancang berdasarkan keperluan syarikat berkenaan.

 

Sebelum ini, MGB telah mengenal pasti Arkema Thiochemicals Sdn Bhd dan CJ Bio Malaysia Sdn Bhd sebagai pelabur di KTIP ketika pembangunan taman perindustrian itu dilancarkan pada 2022.

 

Pada ketika itu, kumpulan berkenaan turut memaklumkan syarikat biokimia dari Amerika Syarikat, Gevo, sedang membangunkan sebuah kilang bernilai AS$500 juta atau kira-kira RM2.1 bilion di KTIP.

 

Pembangunan taman perindustrian itu sendiri dilancarkan dengan anggaran nilai pembangunan kasar sekitar RM680 juta.

 

KTIP seluas 407.6 hektar

Pelaburan yang pernah diumumkan sebelum ini adalah berasingan daripada pelabur utama baharu yang sedang disasarkan MGB bagi kawasan pembangunan awal kira-kira 202.3 hektar (500 ekar) menerusi usaha promosi pelaburan bersama MIDA.

 

KTIP yang terletak di Kertih, Terengganu meliputi kawasan kira-kira 407.6 hektar (1,007 ekar), dengan tempoh pajakan tanah selama 99 tahun dan memperoleh kelulusan kebenaran merancang pada 2025.

 

Dalam pada itu, Lim berkata MGB turut bekerjasama dengan MIDA bagi mempromosikan KTIP kepada pelabur tempatan dan antarabangsa, dengan memanfaatkan rangkaian promosi pelaburan agensi berkenaan untuk memudahkan pertanyaan serta rundingan pelabur.

 

KTIP turut menerima akreditasi Taman Perindustrian Terurus (MIP) daripada MIDA, menjadikannya taman perindustrian pertama di Pantai Timur Malaysia yang memperoleh akreditasi berkenaan.

 

Menurut Lim, akreditasi itu mengukuhkan kedudukan KTIP sebagai destinasi perindustrian yang diurus secara profesional dan bersedia menerima pelabur, dengan memberi tumpuan kepada infrastruktur, daya saing perniagaan, kelestarian alam sekitar serta kesiapsiagaan operasi. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved