
SEPANG, 17 Ogos – Pusingan 6 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Selatan) semalam menjadi milik penuh PETRONAS Sprinta Yamaha, CKJ Racing apabila dua pelumbanya, Ahmad Afif Amran dan Md Izam Ikmal Izamli, masing-masing menjuarai perlumbaan CP150 dan CP125.
Dalam kelas premier CP150, Afif mempamerkan tunggangan tanpa cela sejak awal saingan. Bermula dengan cemerlang, beliau terus menguasai perlumbaan dan menjarakkan jurang hampir lapan saat di hadapan pelumba lain. Rakan sepasukan, Md Akid Aziz, pula bangkit di penghujung perlumbaan untuk merampas kedudukan kedua, sekali gus menghadiahkan podium berganda buat CKJ. Afif menamatkan perlumbaan dengan masa 14’03.643s, diikuti Akid (14’11.228s) dan Azroy Hakeem Anuar (Honda Estremo Yuzy Racing) di tempat ketiga.
Sementara itu, CP125 menyaksikan aksi sengit lima pelumba di kelompok hadapan, namun pengalaman dan strategi tenang Izam memastikan beliau menamatkan saingan dengan kemenangan dramatik. Catatan masa 10’50.980s sudah cukup untuk menjarakkan diri 0.250s di hadapan pencabar terdekat, Md Syamil Amsyar (PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing). Md Idlan Haqimi (Zynergys Honda KC Racing Team) pula melengkapkan podium.
Kemenangan berganda ini membuktikan CKJ Racing semakin mendominasi saingan Cub Prix musim ini, dengan kekuatan seimbang di kedua-dua kelas utama – CP150 dan CP125.
The post CKJ Tawan Sepang – Afif & Izam Hadiahkan Kemenangan Berganda appeared first on TW Media.
