Cold Storage pertama di Kedah buka di Tenz Emporium, Alor Setar

LocalBusiness & Finance
13 Oct 2025 • 3:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Cold Storage pertama di Kedah buka di Tenz Emporium, Alor Setar

image is not available

13/10/2025 - 15:50

TheTenz, Alor Setar Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Okt – Imperio Group menandatangani perjanjian sewa dengan GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd untuk membuka cawangan Cold Storage pertama di Kedah, yang terletak di Tenz Emporium, Alor Setar.

Imperio berkata, Cold Storage akan menjadi tarikan penting bagi fasa pertama pembangunan TheTenz yang menyediakan pelbagai barangan keperluan harian dan produk makanan segar yang mudah diakses oleh penduduk setempat.

“Cold Storage akan menjadi penyewa tunggal bagi bangunan ini yang telah diubah suai dan naik taraf kerana sebelum ini, ia dikenali sebagai panggung wayang Tai Kuan dengan jumlah keluasan lantai 17,205 kaki persegi.

“Bangunan ini akan diserahkan menjelang akhir Disember 2025 atau sebelum Tahun Baru Cina 2026 dengan pembukaan dijangka bermula selepas siapnya kerja-kerja berkaitan,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Cawangan Cold Storage baharu itu adalah sebahagian daripada usaha Imperio untuk memastikan kemudahan harian mudah diperolehi dari kediaman penduduk di sekitar kawasan tersebut.

Tenz Emporium adalah sebahagian komponen TheTenz, pembangunan bercampur bernilai RM350 juta yang menggabungkan unit rumah kediaman, hotel dan lot komersial.

Pembangunan ini menampilkan podium enam tingkat yang ditambah tiga menara di atasnya.

Antara komponennya ialah 349 apartmen servis di bawah jenama Vivre Residences dan 84 suite servis jenama Vaycay Suites.

Selain itu, terdapat 5,697 meter persegi ruang runcit dikenali sebagai Tenz Commons, serta sebuah hotel 154 bilik yang dikendalikan oleh Ibis Styles, menjadi rangkaian hotel antarabangsa pertama memasuki Alor Setar.

Projek pembangunan TheTenz dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2028, dengan laluan pejalan kaki menghubungkan pasar raya ke kediaman dan kawasan sekitarnya.

Imperio, berkata kerjasama ini adalah sebahagian daripada usaha lebih luas untuk menghidupkan semula aktiviti di pusat bandar serta menggunakan semula aset warisan bagi kegunaan komuniti moden.

Cold Storage dijangka memberi kemudahan kepada komuniti tempatan dengan menyediakan barangan keperluan harian, hasil segar dan barangan khas di kawasan bandar.

Melalui pelancaran ini, Imperio berharap pembangunan TheTenz dapat menjadi pusat aktiviti dan komuniti yang bersepadu, menarik kedatangan pengunjung dan meningkatkan nilai ekonomi di Alor Setar. - DagangNews.com

standard

View Original Article