Teamstar terima kelulusan Bursa Malaysia untuk disenaraikan di Pasaran ACE

LocalBusiness & Finance
13 Oct 2025 • 10:58 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Teamstar terima kelulusan Bursa Malaysia untuk disenaraikan di Pasaran ACE

image is not available

13/10/2025 - 10:58

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Okt – Teamstar Berhad sudah menerima kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities Berhad untuk penyenaraian awal (IPO) di Pasaran ACE yang dijangka pada suku pertama 2026.

IPO itu bakal membuka lembaran baharu buat syarikat tersebut dalam mengukuhkan kedudukannya dalam industri penambahbaikan rumah di Malaysia.

IPO ini melibatkan tawaran awam sebanyak 204 juta saham biasa, mewakili 25.50% daripada modal saham terbitan diperbesarkan sebanyak 800 juta saham biasa.

Daripada jumlah itu, sebanyak 132 juta saham baharu akan diterbitkan — termasuk 40 juta saham untuk orang awam Malaysia dan 92 juta saham melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Sementara itu, 72 juta saham sedia ada akan ditawarkan untuk dijual. Daripada jumlah tersebut, 16 juta saham diperuntukkan kepada pengarah dan pekerja serta individu yang menyumbang kepada kejayaan syarikat, 48 juta saham untuk pelabur terpilih dan baki 8 juta saham kepada pelabur Bumiputera diluluskan MITI.

Naib Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Teamstar, Tan Lee Kueng berkata, kelulusan Bursa Malaysia ini adalah detik penting bagi syarikat dalam mencapai status sebagai syarikat tersenarai.

“Kami amat berbesar hati menerima kelulusan ini selepas proses penilaian yang teliti. Ia membawa kami selangkah lebih dekat ke arah menjadi syarikat tersenarai awam.

“Ini adalah masa yang sangat sesuai kerana kami bersedia merebut peluang pertumbuhan dalam industri penambahbaikan rumah,” katanya dalam satu kenyataan.

image is not available
Naib Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Teamstar, Tan Lee Kueng

Beliau berkata, Teamstar menawarkan pelbagai produk termasuk kelengkapan perabot, perkakasan am, produk permukaan hiasan, peralatan dapur dan rumah, serta salutan dan pelarut.

Ketika ini, syarikat mempunyai kira-kira 22,700 unit simpanan stok merangkumi segmen runcit, perdagangan dan nilai tambah.

Syarikat juga mempunyai 11 jenama dalaman yang telah didaftarkan dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), termasuk ‘Reno’, ‘Hauss’, ‘A’Lois’, ‘E’Lois’, ‘Bramah’, ‘team’, ‘DGTango’, ‘Eracoat’, ‘Best Can’, ‘Bee’s Chem’, dan ‘Bull Chem’.

Sejak membuka cawangan pertama pada 2008, Teamstar telah mengembangkan rangkaian kepada 27 cawangan ‘Teamstar’ dan satu cawangan ‘Benova’ di seluruh Semenanjung Malaysia.

Rangkaian ini turut disokong oleh dua kilang dan enam gudang.

Sebahagian daripada hasil IPO akan digunakan untuk membuka 10 cawangan baharu di seluruh negara, termasuk kemasukan ke Sabah dan Sarawak.

Langkah ini dijangka memperkukuh kehadiran jenama dan memperluas pangkalan pelanggan.

Baki hasil pula akan digunakan untuk membeli dan mengubah suai gudang baharu, menambah modal kerja, membayar sebahagian pinjaman bank serta menampung kos penyenaraian.

Beliau berkata, Teamstar yang berpengalaman hampir 30 tahun dalam industri ini mencatatkan hasil RM130.22 juta pada tahun kewangan berakhir 2024 dengan RM75.34 juta disumbang oleh segmen runcit dan RM54.88 juta daripada segmen perdagangan dan nilai tambah.

“Dengan penyenaraian ini, syarikat yakin dapat memperkukuh kedudukan sebagai penyedia utama produk kelengkapan perabot dan peralatan rumah, serta memperluas capaian ke seluruh negara,” katanya.- DagangNews.com

standard