RM2.3 bilion disalurkan untuk pembesaran lapangan terbang di Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Tawau dan Miri

10/10/2025 - 16:59
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 10 Okt – Kerajaan memfokuskan peningkatan kecekapan sektor logistik sebagai langkah untuk mempercepatkan aktiviti ekonomi, kos lebih efisien serta memberi manfaat kepada pelabur, industri dan rakyat.
Pemerkasaan Malaysia Airports Holdings (MAHB) membuka ruang pelaburan yang lebih besar sekaligus memperkukuh kecekapan pengurusan lapangan terbang negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, MAHB telah menyiapkan pembesaran Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di Perak dan kini dalam proses pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kota Bharu, Kelantan.
“Selain itu, sebanyak RM2.3 bilion dilaburkan bagi pembangunan lapangan terbang di Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Tawau dan Miri yang dijangka siap pada 2028.
“Short Take Off and Landing Port (STOLport) di Marudi dan Redang juga dinaik taraf dengan sasaran siap pada 2027.
“Projek Inter-Terminal Transfer antara KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 bakal dilaksanakan bagi meningkatkan ketersambungan penumpang, menjadikan KLIA sebagai satu lapangan terbang antarabangsa yang menyeluruh,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 hari ini.
Selain itu, kerajaan Selangor bersama MAHB membangunkan Selangor Aero Park (SAP) seluas 600 ekar di Sepang sebagai hab logistik dan kargo serantau.
Tambahnya, kerajaan turut meneruskan aktiviti pemetaan sumber nadir bumi dengan peruntukan sebanyak RM10 juta.
“Usaha pembangunan aktiviti hiliran juga menjadi fokus utama, termasuk melalui usaha sama antarabangsa yang diterajui Khazanah.
“Langkah-langkah ini dijangka memperkukuh ekosistem logistik negara, menarik pelaburan strategik, dan memastikan sektor ini menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang,” katanya.- DagangNews.com
standard

