
BOGOTA: Kerajaan baharu berhaluan kanan tegar Colombia pada Isnin mengiktiraf tuntutan Israel ke atas Bukit Golan, wilayah yang dirampas Israel daripada Syria pada 1967.
Amerika Syarikat (AS) sebelum ini merupakan satu-satunya negara yang mengiktiraf peluasan wilayah Iitu oleh Israel pada 1981.
Presiden Colombia, Abelardo de la Espriella mengambil alih jawatan pada Jumaat, selepas kempen penuh kontroversi yang menyaksikan beliau berjanji untuk menjalin hubungan erat dengan AS dan Israel sebagai usaha memerangi kumpulan bersenjata di negaranya sendiri.
Kementerian Luar Colombia mengumumkan pengiktirafan terhadap tuntutan Israel itu pada hari yang sama ketika gempa bumi kuat melanda bahagian barat Colombia, mengorbankan sekurang-kurangnya 111 orang dan mencederakan puluhan yang lain.
“Kerajaan Colombia mengiktiraf kedaulatan Israel ke atas wilayah ini dan hak negara itu untuk melindungi dirinya daripada ancaman luar,” menurut kenyataan yang diterbitkan di platform X.
“Colombia mengiktiraf bahawa pengekalan kawalan dan kedaulatan Israel ke atas Bukit Golan merupakan komponen penting dalam pertahanan negaranya,” tambah kenyataan itu.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berpendirian bahawa dataran tinggi tersebut merupakan wilayah Syria yang berada di bawah pendudukan tentera Israel.
Menteri Luar Israel, Gideon Saar, mengucapkan terima kasih kepada ‘sahabat baiknya’, De la Espriella susulan pengiktirafan tersebut.
Bulan lalu, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres mengulangi pendirian bahawa Bukit Golan merupakan sebahagian daripada Syria dengan menyifatkan pendudukan Israel sebagai sama sekali tidak boleh diterima.
Pendahulu De la Espriella daripada golongan berhaluan kiri, Gustavo Petro, sebelum ini lantang mengkritik serangan Israel di Semenanjung Gaza, sehingga memutuskan hubungan diplomatik dan menghentikan import senjata dari Israel ke Colombia. – AFP
The post Colombia iktiraf tuntutan Israel ke atas Bukit Golan di Syria appeared first on Utusan Malaysia.


