
BOGOTA – Presiden Abelardo de la Espriella mengisytiharkan darurat selepas gempa bumi kuat bermagnitud 7.4 menggegar barat negara Colombia semalam, lapor agensi berita euronews.
Beliau berkata, gempa bumi itu mengorbankan sekurang-kurangnya 111 orang dengan 87 mangsa lain cedera, manakala beratus-ratus bangutan runtuh.
“Anda tidak berseorangan. Kerajaan ada bersama dan sedang mengambil tindakan,” katanya.
Bencana menyebabkan penduduk terperangkap di bawah runtuhan dengan lebih ramai mangsa cedera dan memaksa orang ramai berpindah dari kediaman mereka.
Pusat gempa dikesan di San Jose Del Palmar, sebuah kawasan komuniti dengan 4,800 penduduk di wilayah Choco, kira-kira 400 kilometer ke barat ibu negara, Bogota.
Menurut Agensi Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) dan Perkhidmatan Geologi Colombia, gempa berlaku pada kedalaman 107 kilometer dan turut dirasai di negara jiran seperti Ecuador dan Panama, walaupun kerosakan minimum dilaporkan di sana.
Perkhidmatan Geologi Colombia mengesahkan ini merupakan gempa bumi terkuat yang direkodkan di negara berkenaan dalam tempoh satu dekad. – AGENSI
The post Colombia isytihar darurat, gempa kuat ragut lebih 100 nyawa appeared first on Kosmo Digital.




