
Peranti Android 17 akan menerima ciri baharu Continue On yang membolehkan kerja yang dilakukan pada satu peranti diteruskan pada sebuah lagi peranti Android 17. Ini mirip ciri Handoff pada peranti Apple.

Antara kerja yang boleh disambung rentas peranti kelak ialah menonton video, membaca artikel di laman web, menulis mesej dan menyunting dokumen. Ini adalah berguna bagi mereka yang memulakan kerja di telefon tetapi ingin meneruskannya pula pada sebuah tablet atau Googlebook.
Apabila mengesan peranti berhampiran dengan aplikasi dibuka, sebuah Googlebook atau tablet akan memaparkan ikon saranan aplikasi dibuka. Proses memindahkan kerja yang sedang dilakukan akan berlaku dengan pantas sejurus selepas ikon ditekan. Ciri ini sedang dalam ujian menerusi Android 17 RC 1 hari ini.



