Minggu lalu pelbagai ciri Android 17 diperlihatkan dengan penenakanan tahun ini ialah semakin banyak integrasi Gemini. Maka tidaklah mengejutkan dengan pelancaran Wear OS 7 hari ini, ia juga adalah penambahbaikan kecil pada antaramuka dengan tumpuan lebih diberikan kepada Gemini.

Wear OS 7 membawa peningkatan pada ketahanan bateri, UI, widget baharu, integrasi Gemini, dan pengalaman kecergasan serta media yang lebih seragam. Menerusi Wear OS 7 hayat bateri adalah sehingga 10% lebih baik berbanding Wear OS 6. Seperti di Android, Gemini Intelligence dengan pemperbadian lebih tinggi turut akan tiba di jam-jam tangan terpilih.

Notifikasi kini muncul sebagai ikon kecil pada muka jam dengan halaman notifikasi menyokong Live Update untuk aplikasi seru pandu atau pesanan makanan misalnya. Tiles pada Wear OS digantikan pula dengan widget menyerupai Android 16.

Integrasi Gemini membolehkan pesanan menggunakan suara turut dilakukan daripada sebuah jam tangan Wear OS. Contohnya pesanan makanan atau tiket konsert boleh diberikan terus menggunakan jam. Apabila dipadankan dengan cermin mata pintar Android XR, gambar yang diubah menggunakan Nano Banano diambil cermin mata turut boleh dilihat terus pada muka jam.
Kawalan media ditambah baik dengan pengguna boleh menetapkan aplikasi apa perlu dilancarkan pada jam apabila ia dilancarkan pada telefon. Setiap aplikasi boleh ditetapkan sendiri. Pemindahan audio daripada jam ke kelengkapan audio lain yang dimiliki juga lebih mudah.

Bagi yang suka bersenam, Wear Workout Tracker baharu memudahkan pelbagai data ketika bersenam, dan media dijejak serta dipaparkan dengan lebih mudah. Tidak lagi perlu menggodek dan mencari menu yang kecil pada skrin jam.
Versi Wearo OS 7 versi Canary untuk pembangun tersedia hari ini untuk diuji serta membangunkan aplikasi dengan kesemua ciri baharu diumumkan.


