
Siapa yang mengikuti perkembangan pastinya tahu bahawa Coros Pace 4 telah dilancarkan sekitar Disember tahun lalu. Namun kini, ia hadir dengan pilihan baharu yang lebih segar dan moden melalui Coros Pace 4 Black Crystal.

Model baharu ini menggunakan bezel aluminium siri 6000 dengan satu lapisan pelindung nipis pada permukaan logam jam yang berfungsi melindungi daripada peluh dan calar. Penyambung tali jam turut direka semula dengan teknik suntikan dua tona untuk menghasilkan rupa lutsinar berlapis. Dalam bahasa mudah, teknik suntikan dua tona ialah kaedah pembuatan di mana dua bahan atau warna dimasukkan serentak ke dalam acuan.


Hasilnya, bahagian jam seperti penyambung tali akan kelihatan seolah-olah mempunyai lapisan lutsinar dengan kesan berlapis. Walaupun tampil lebih premium, jam ini tetap ringan dengan berat sekitar 33g bersama tali nilon. Sementara itu, tali silikon hadir dengan rekaan corak baharu yang lebih kukuh serta tahan lama yang menjadikannya sesuai digunakan dalam jangka masa panjang.

Paparan jam tangan ini menggunakan skrin AMOLED bersaiz 1.2″ dengan resolusi 390 × 390 piksel serta kecerahan puncak 1,500 nits. Dari segi fungsi, ia dilengkapi sensor kadar denyutan jantung baharu sambil menawarkan mod larian seperti Checkpoint, Back-To-Start dan Deviation Alert. Selain itu, pengguna boleh menjejaki tidur, HRV, masa pemulihan serta pelbagai data lain melalui aplikasi COROS. Ia juga hadir dengan sokongan mikrofon terbina yang membolehkan arahan suara, catatan dan Voice Pins digunakan dengan lebih mudah.

Bateri jam ini mampu bertahan sehingga 19 hari dengan penggunaan biasa, manakala dalam mod GPS ia boleh beroperasi sehingga 41 jam. Coros Pace 4 Black Crystal dijual pada harga RM 1,399 melalui Shopee, Lazada dan Pangu Running. Setiap pembelian turut disertakan fon kepala Pangu Running Run 3 Sport bernilai RM159 secara percuma untuk masa terhad.



