amree16/10/2026 - 17:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Okt — Cosmos Technology International Berhad menerima tempahan pembelian bernilai RM3.93 juta bagi membekalkan peralatan pemantauan aliran dan tekanan air serta sistem kawalan pengurusan tekanan kepada Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA).
Menurut makluman kumpulan berkenaan kepada Bursa Malaysia, pesanan terbaharu itu dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuhnya, Cosmos Instruments Sdn Bhd, oleh Deca Solutions Sdn Bhd dan sudah diterima subsidiari tersebut pada 16 Oktober 2026.
Ujarnya lagi, kontrak berkenaan melibatkan pembekalan dan penghantaran peralatan jenis 'pressure and flow data loggers' serta 'advance pressure management control kepada SADA, yang merupakan syarikat milik penuh kerajaan Kedah ditubuhkan sejak 2010.
"Tempoh kontrak tersebut adalah selama empat bulan, bermula dari tarikh yang ditetapkan sendiri oleh SADA, dan dijangka dapat selesai sepenuhnya menjelang Februari 2027," jelas Cosmos Technology dalam kenyataan berkenaan.
Tambah kumpulan yang ditubuhkan pada 2019 itu, kontrak tempahan pembelian tersebut dijangka dapat menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan dan aset bersih syarikat berkenaan bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2027.
Bagaimanapun, syarikat berpangkalan di Seri Kembangan, Selangor itu tidak menyatakan jumlah sumbangan keuntungan yang dijangka diperoleh daripada kontrak berkenaan.

Dari segi risiko pula, Cosmos Technology tidak menjangkakan berlaku sebarang risiko ketara selain risiko operasi yang biasa sepanjang tempoh pelaksanaan kontrak tersebut.
"Syarikat akan mengambil langkah sewajarnya bagi mengurangkan risiko jika perkara itu timbul," kata kumpulan tersebut yang terlibat dalam pengedaran serta penyelenggaraan produk kawalan bendalir dan instrumen automasi industri khususnya sektor bekalan air dan air sisa.
Ujar syarikat tersebut, penerimaan kontrak itu tidak memberi sebarang kesan terhadap modal saham terbitan atau pegangan saham pemegang saham utama kumpulan.
Selain itu, kontrak berkenaan dilaksanakan dalam urusan perniagaan biasa kumpulan dan tidak memerlukan kelulusan pemegang saham Cosmos Technology atau mana-mana pihak berkuasa kawal selia berkaitan.
Lembaga Pengarah Cosmos Technology, selepas mempertimbangkan segala aspek kontrak tersebut, berpendapat penerimaan tempahan berkenaan adalah demi kepentingan terbaik syarikat.
"Tiada pengarah, pemegang saham utama atau individu yang berkaitan dengan mereka mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak tersebut," katanya. - DagangNews.com


