Counterpoint: Lenovo Dan Apple Mencatatkan Jualan Tertinggi Tatkala Microsoft Menamatkan Sokongan Windows 10

TechnologyBusiness & Finance
27 Oct 2025 • 8:32 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

image is not available

Kira-kira dua minggu lalu, Microsoft telah menamatkan sokongan kemaskini untuk sistem operasi Windows 10 mereka. Ini menyebabkan orang ramai dipaksa untuk menaiktaraf kepada sistem operasi Windows 11, dan untuk mereka yang menggunakan komputer lama yang tidak mengikuti spesifikasi yang diperlukan untuk sistem operasi baru ini, mereka nampaknya terpaksa membeli komputer baru.

Terkini, Counterpoint, syarikat penyelidikan pasaran telah melaporkan bahawa jumlah jualan komputer dalam pelbagai saiz telah meningkat sebanyak 8.1 peratus dari tahun ke tahun, dengan syarikat-syarikat seperti Lenovo, Apple dan ASUS diperlihatkan sebagai tiga syarikat dengan peningkatan jualan tertinggi dari tahun-ke-tahun.

image is not available

Laporan Counterpoint mengatakan bahawa Lenovo telah memperlihatkan peningkatan jualan 17.4 peratus pada suku ketiga 2025 apabila dibandingkan dengan waktu sama pada tahun lepas. Apple juga memperlihatkan peningkatan jualan 14.9 peratus, manakala ASUS pula mencatatkan peningkatan jualan 14 peratus dalam suku yang sama.

ASUS juga mencatatkan peningkatan jualan dari suku-ke-suku yang tertinggi pada suku ketiga 2025 dengan peningkatan jualan 22.5 peratus.

Laporan yang sama mengatakan bahawa Dell mencatatkan penurunan jualan satu peratus, dan beberapa jenama lain yang digabungkan juga mencatatkan penurunan jualan sebanyak 3 peratus.

Daripada laporan ini, kita dapat lihat bahawa walaupun pengguna dipaksa untuk membeli komputer riba baru kerana keputusan Microsoft untuk menamatkan sokongan sistem operasi lama, mereka masih mempunyai kuasa memilih, dengan ramai daripada mereka nampaknya telah memilih jenama-jenama yang lebih dikenali dan diketahui kualitinya.

Apple baru-baru ini juga telah melancarkan komputer riba Apple Macbook Pro dengan cip pemprosesan Apple M5 terbaru mereka, dan ini dijangka akan meningkatkan lagi jumlah jualan komputer riba mereka untuk mereka yang mungkin mahu beralih daripada menggunakan sistem operasi Microsoft Windows.