KUALA LUMPUR - Selepas beberapa hari mencatatkan angka melepasi 2,000 kes, jumlah jangkitan COVID-19 kembali mencatatkan penurunan di bawah paras itu apabila merekodkan 1,924 kes baharu semalam.
Berdasarkan data laman sesawang COVIDNOW, angka terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kes terbabit adalah 4,830,214 kes setakat ini.
Kes baharu itu hanya membabitkan kes tempatan.
Tiga kes kematian baharu direkodkan akibat pandemik itu semalam dengan satu kes berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID), iaitu dua di Selangor dan Kedah (1).
Angka terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kematian adalah 36,348 setakat ini, termasuk 7,731 daripadanya adalah kes BID.
Sehingga tengah malam tadi, sebanyak 25,278 kes aktif COVID-19 dilaporkan di seluruh negara.
Daripada jumlah kes aktif itu, 24,136 atau 95.5 peratus membabitkan pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah, dua kes dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) dan 1,089 pesakit atau 4.3 peratus menerima rawatan di hospital.
Sebanyak 51 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 28 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Kes sembuh dicatatkan semalam adalah 2,360 kes yang menjadikan kumulatif kes pulih daripada virus itu adalah 4,768,588 kes setakat ini. - Getaran, 25 September 2022
