Cradle, Bursa Malaysia jalin kerjasama dalam penyenaraian syarikat pemula niaga tempatan
zulfadli
08/09/2023 - 15:32
KUALA LUMPUR 8 Sept - Peneraju syarikat pemula peringkat awal, Cradle Fund Sdn Bhd dan Bursa Malaysia memeterai memorandum kerjasama (MoC) bagi meningkatkan pengetahuan tentang peluang pembiayaan yang tersedia di Malaysia, termasuk yang ditawarkan dalam pasaran ekuiti.
Selain itu, kerjasama ini bertujuan untuk memudahkan usaha mengenal pasti pemula yang berpotensi untuk disenaraikan di Bursa Malaysia.
Kerjasama ini merupakan sebahagian daripada program Fund Funnel, iaitu sebuah inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi menyelaras pilihan pembiayaan serta menawarkan sokongan menyeluruh kepada usahawan sepanjang perjalanan dalam pembiayaan pembangunan perniagaan, dari peringkat permulaan hingga ke peringkat tawaran awam permulaan (IPO).
Pelaksanaan program Fund Funnel ini juga selari dengan Intervensi Dua yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021-2030.
Ia menekankan kepentingan penstrukturan semula ekosistem pelaburan tempatan bagi meningkatkan kecekapan serta menarik pelaburan berkualiti tinggi, justeru memudahkan akses pembiayaan kepada usahawan muda.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, program Fund Funnel dapat menangani isu-isu yang dibangkitkan oleh usahawan pemula seperti kekurangan maklumat mengenai peluang pembiayaan daripada kerajaan.
Pada masa yang sama katanya, ia menjelaskan tentang agensi-agensi kerajaan yang menawarkan pembiayaan bagi setiap peringkat.
"Program Fund Funnel ini diperkenalkan seiring dengan perjalanan transformasi Malaysia dalam memenuhi aspirasi yang digariskan di dalam SUPER.
"Program ini yang mencerminkan komitmen kerajaan untuk memupuk usahawan pemula dengan menyediakan akses pembiayaan pada setiap peringkat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, iaitu untuk membina sebuah negara yang inovatif dan berteknologi tinggi," katanya dalam kenyataan media di sini.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke berkata, kerjasama antara kedua-dua pihak memperlihatkan komitmen dalam penglibatan yang berterusan dengan pemain ekosistem untuk memupuk ketelusan dalam kriteria dan proses penyenaraian Bursa Malaysia.
"Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat memperkasakan usahawan pemula dan membangunkan strategi komprehensif mereka serta melancarkan proses penyenaraian di Bursa Malaysia, justeru, merapatkan jurang pembiayaan dalam ekosistem.
"Dengan menyelaraskan sumber, kepakaran dan kerjasama secara strategik, Cradle dan Bursa Malaysia dapat mewujudkan persekitaran ekosistem pemula yang kondusif, merevolusikan industri dan memacu pertumbuhan ekonomi," katanya.
Melalui kerjasama ini, Cradle akan menyediakan maklumat tentang pasaran ekosistem startup tempatan untuk membantu Bursa Malaysia mengenal pasti usahawan yang berpotensi untuk disenaraikan. - DagangNews.com




