Creador ambil alih 13% saham rangkaian farmasi Vietnam, Long Chau

WorldBusiness & Finance
25 Apr 2025 • 5:26 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Creador ambil alih 13% saham rangkaian farmasi Vietnam, Long Chau

image is not available

25/04/2025 - 17:26

Gambar/FPT Retail Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 25 April - Firma ekuiti persendirian (PE) Creador, mengambil alih sebanyak 13% kepentingan dalam rangkaian farmasi terkemuka di Vietnam, FPT Long Chau Investment JSC.

Creador berkata, ia adalah pusingan pengumpulan dana pertama bagi Long Chau dan juga pelaburan kedua firma tersebut di Vietnam.

Long Chau berkembang pesat daripada hanya empat cawangan pada tahun 2017 kepada lebih 2,000 farmasi dan lebih 140 pusat vaksinasi di seluruh Vietnam.

Ia kekal sebagai satu-satunya rangkaian farmasi nasional yang menguntungkan dengan kehadiran di semua 63 wilayah di Vietnam.

Pertumbuhan pesat berkenaan didorong oleh pasukan pengurusan yang berpengalaman dan berpandangan jauh, selain mampu menawarkan kepelbagaian produk kepada rakyat Vietnam pada harga yang berpatutan.

Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas Creador, Brahmal Vasudevan berkata, pelaburan itu adalah pencapaian penting, mengukuhkan komitmennya terhadap pasaran penjagaan kesihatan yang berkembang pesat di Vietnam.

Katanya, ia juga menandakan kemasukan kedua syarikatnya ke sektor peruncitan farmasi di Asia Tenggara, disokong oleh pengalaman industri selama lebih 10 tahun.

"Tidak banyak perniagaan boleh berjaya seperti Long Chau. Ia adalah jenama yang dipercayai, berada di seluruh negara dan dekat dengan masyarakat.

"Long Chau turut memimpin usaha menjadikan penjagaan kesihatan lebih mudah dicapai dan mampu milik untuk semua. Kami bangga dapat menyokong misi ini dan menjadi sebahagian daripada perjalanan dan kejayaan Long Chau," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Urusan FPT Retail dan Pengerusi Long Chau Investment, Nguyen Bach Diep menyifatkan, perkongsian berkenaan bukan sahaja menyediakan sumber tambahan kepada syarikatnya, tetapi juga memberi peluang untuk memperoleh pengalaman antarabangsa.

"Kami juga dapat meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan dengan cara yang telus dan mampan selain menyumbang kepada penambahbaikan kesihatan awam di Vietnam," ujarnya. - DagangNews.com

featured standard