Saham Reach Energy bakal digantung, berisiko dinyahsenarai 24 April 2025

15/04/2025 - 10:24
Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 15 April - Syarikat tersenarai dalam kategori Nota Amalan 17 (PN17), Reach Energy Bhd, bakal berdepan penggantungan dagangan saham bermula 22 April 2025 dan berisiko untuk dinyahsenarai dari Bursa Malaysia pada 24 April 2025, selepas permohonan lanjutan kali ketiganya untuk menghantar pelan pemulihan ditolak oleh Bursa Malaysia Securities.
Bursa menolak permohonan itu kerana tiada kemajuan ketara yang ditunjukkan syarikat sejak tarikh akhir sebelum ini.
Berdasarkan jadual asal yang telah diluluskan, Reach Energy sepatutnya menghantar pelan pemulihan kepada Bursa selewat-lewatnya 2 April 2024.
Walaupun syarikat masih boleh membuat rayuan sehingga 21 April 2025, sahamnya tetap akan digantung daripada dagangan.
Reach Energy dimasukkan ke status PN17 pada April 2023, selepas ekuiti pemegang sahamnya jatuh di bawah 50% daripada modal berbayar seperti yang dicatat dalam laporan kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2022.
Syarikat mencatatkan kerugian sejak 2014.
Namun, kerugian bersih Reach Energy mengecil kepada RM18.11 juta dalam FY24 berbanding RM208.29 juta pada tahun sebelumnya, dengan pendapatan hampir tidak berubah pada RM207.83 juta.
Reach Energy ditubuhkan sebagai syarikat pemerolehan tujuan khas (SPAC) pada tahun 2013 dan melancarkan tawaran awam permulaan (IPO) bernilai RM750 juta di Pasaran Utama.
Pada tahun 2016, syarikat mengambil alih 60% pegangan dalam Palaeontol BV pada harga RM840.89 juta.
Palaeontol BV memiliki 100% kepentingan dalam Emir-Oil LLP, yang mengawal kawasan konsesi minyak seluas 850.3 kilometer persegi di barat daya Kazakhstan.
Selepas pengambilalihan tersebut, Reach Energy menjadi pengendali utama kawasan Emir-Oil dan memperoleh kontrak penerokaan serta pengeluaran yang sah sehingga tahun 2036.
Pada Oktober 2024, Reach Energy menyelesaikan saman berkaitan anak syarikatnya, Emir-Oil LLP, yang berlanjutan lebih dua tahun.
Isu berkenaan melibatkan penangguhan kewajipan kontrak di lapangan minyak Dolinnoe dan diselesaikan menerusi pembayaran denda yang dikurangkan sebanyak RM9.6 juta serta bayaran perkhidmatan negeri sebanyak RM300,000.
Semua penyitaan aset Emir-Oil turut ditarik balik.
Pemegang saham terbesar Reach Energy ialah Super Racer Ltd, milik warganegara Hong Kong, Cheung Siu Fai, dengan pegangan 48.5%, manakala Pengerusi Reach Energy, Tan Sri Azmil Khalili Khalid, memiliki 2.66% saham.
Setakat akhir Disember lalu, jumlah pinjaman syarikat adalah sebanyak RM40.95 juta, berbanding baki tunai dan deposit berjumlah RM3.35 juta. - DagangNews.com
standard

