liza20/11/2026 - 18:12 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Nov – Crescendo Corporation Berhad (CCB) menamatkan perjanjian penjualan tanah perindustrian di Kota Tinggi, Johor bernilai RM200.88 juta kepada Pioneer Real Estate Development Sdn Bhd selepas pembeli menggunakan haknya untuk membatalkan urus niaga berkenaan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata penamatan itu dibuat menerusi surat bertarikh 20 November 2026, apabila Pioneer Real Estate Development menggunakan hak untuk menamatkan perjanjian jual beli (SPA) secara unilateral mengikut terma dan syarat yang dipersetujui.
Bagaimanapun, Crescendo tidak menyatakan sebab khusus di sebalik keputusan pembeli menamatkan perjanjian tersebut.
Deposit pembeli menjadi hak Crescendo
Menerusi penamatan itu, deposit dan baki deposit yang dibayar di bawah perjanjian jual beli akan dilucutkan dan menjadi hak milik penjual sepenuhnya sebagai ganti rugi yang telah dipersetujui.
Selain itu, baki deposit yang kini dipegang oleh peguam penjual berserta faedah yang diperoleh daripadanya akan dilepaskan kepada pihak Crescendo.
Bagaimanapun, berdasarkan terma perjanjian berkenaan, Crescendo tidak boleh membuat sebarang tuntutan tambahan terhadap pembeli bagi kerugian atau kerosakan susulan penamatan tersebut.
Tiada kesan material terhadap kedudukan kewangan
Crescendo berkata penamatan perjanjian itu tidak dijangka memberi kesan material terhadap modal saham terbitan dan berbayar, pegangan saham pemegang saham utama, aset bersih sesaham, pendapatan sesaham serta nisbah gearing kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2027.
Bagaimanapun, kumpulan itu akan mengambil kira kos transaksi yang telah ditanggung sepanjang proses penjualan tanah berkenaan serta pendapatan daripada deposit yang dilucutkan, termasuk faedah deposit tersebut.- DagangNews.com






