Projek KT Sentral bernilai RM160 juta jadi hab pengangkutan, ekonomi baharu Terengganu

LocalBusiness & Finance
19 Nov 2026 • 10:54 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Projek KT Sentral bernilai RM160 juta jadi hab pengangkutan, ekonomi baharu Terengganu Image from: Projek KT Sentral bernilai RM160 juta jadi hab pengangkutan, ekonomi baharu Terengganu liza19/11/2026 - 10:54 Ilustrasi KT Sentral apabila siap kelak Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA TERENGGANU 19 Nov – Projek pembangunan hab pengangkutan bersepadu KT Sentral bernilai RM160 juta di Bukit Besar dijangka meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan awam, selain merangsang aktiviti ekonomi dan membuka peluang pekerjaan menerusi pembangunan komersial di kawasan sekitarnya.

 

Cadangan pembangunan itu merupakan sebahagian daripada perancangan Bandar Baharu Bukit Besar yang turut merangkumi pembinaan pejabat kerajaan, kemudahan awam dan infrastruktur jalan raya yang turut menggabungkan perkhidmatan bas, teksi dan pengangkutan bot di satu lokasi.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata berdasarkan Pelan Strategik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) 2025–2029, KT Sentral dirancang sebagai terminal bersepadu yang akan menyediakan kemudahan pengangkutan bagi perjalanan dalam bandar dan antara bandar, selain penyelarasan perkhidmatan pengangkutan awam serta kemudahan sokongan.

 

“Cadangan itu juga akan diselaraskan dengan keperluan stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kuala Terengganu, manakala pembangunan terminal berkenaan dicadangkan dilaksanakan menerusi kaedah penswastaan.

 

Pembangunan Bukit Besar libatkan hampir 90 hektar tanah

“Pembangunan Bandar Baharu Bukit Besar menunjukkan kemajuan dari segi penyediaan tapak, pembangunan kemudahan kerajaan dan pembinaan infrastruktur.

 

“Hampir 90 hektar tanah sudah selesai melalui proses pengambilan balik tanah bagi menempatkan 12 lot pejabat kerajaan, terminal bersepadu, sebuah loji rawatan kumbahan berpusat, masjid berserta makam diraja serta rizab jalan,” katanya menjawab soalan lisan Dr Mamad Puteh yang ingin tahu mengenai perkembangan terbaharu projek itu dalam sesi soalan lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini.

 

Setakat ini, tiga lot pejabat agensi kerajaan sudah siap dan mula beroperasi, manakala sebuah lagi pejabat kerajaan serta loji rawatan kumbahan berpusat masih dalam pembinaan.

 

Beliau berkata MBKT turut menerima permohonan rundingan awal perancangan bagi tiga lot pembangunan, membabitkan dua lot pejabat agensi kerajaan dan satu lot masjid.

 

Jalan susur RM141.7 juta diluluskan bawah RMK13

Dari segi pembangunan infrastruktur, sebanyak 6.9 hektar jalan sudah siap dibina bagi menyokong pembangunan kawasan berkenaan.

 

Selain itu, cadangan pembinaan jalan susur utama ke Kuala Terengganu Bypass sepanjang 2.75 kilometer yang melibatkan keluasan kira-kira 15 hektar sudah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13). Projek itu menerima peruntukan RM141.7 juta bagi skop pengambilan balik tanah dan reka bentuk.

 

Pembangunan KT Sentral dijangka meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan awam menerusi penyatuan beberapa perkhidmatan pengangkutan di satu lokasi, sekali gus memudahkan pergerakan penumpang dan pertukaran antara mod pengangkutan.

 

Terminal bersepadu itu juga berpotensi membantu mengurangkan pergerakan bas ke kawasan pusat bandar serta melancarkan aliran trafik, bergantung pada lokasi terminal, reka bentuk akses jalan dan penyelarasan laluan bas.

 

Selain manfaat pengangkutan, pembangunan hab berkenaan dijangka merangsang aktiviti ekonomi melalui pembukaan premis komersial seperti kedai, restoran, ruang niaga dan perkhidmatan sokongan, selain mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor pembinaan, operasi terminal dan peruncitan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved