hamden26/10/2026 - 11:19 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Okt - UUE Holdings Bhd berpotensi mendapat manfaat daripada pelaksanaan pecutan Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS), yang dijangka merangsang permintaan terhadap perkhidmatan kejuruteraan utiliti bawah tanah, khususnya bagi sambungan projek tenaga solar.
Hong Leong Investment Bank dalam analisis teknikal berkata, keperluan untuk memulakan operasi komersial projek sebelum 31 Disember 2028 boleh mendorong pemaju memilih sambungan kabel bawah tanah sekiranya proses pengambilan tanah dan kelulusan laluan hak laluan berisiko menjejaskan jadual pelaksanaan projek.
"Walaupun talian atas lazimnya menjadi pilihan bagi sambungan ladang solar kerana kos yang lebih rendah, sambungan bawah tanah berpotensi menjadi alternatif bagi mempercepatkan pelaksanaan projek yang berdepan kekangan berkaitan tanah dan kelulusan laluan.
"Perkembangan itu dijangka membuka peluang kepada UUE, yang terlibat terutamanya dalam penyediaan penyelesaian kejuruteraan utiliti bawah tanah untuk sektor tenaga dan telekomunikasi di Malaysia serta Singapura," katanya.
Selain CRESS, syarikat itu dijangka mendapat manfaat daripada aliran projek yang kukuh melibatkan pembangunan pencawang masuk utama (PMU) oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) serta sambungan pusat data (DC).
Prospek pendapatan
Projek berkenaan melibatkan sambungan infrastruktur voltan tinggi antara 132 kilovolt (kV) hingga 275kV, yang lazimnya menawarkan nilai kontrak lebih tinggi. Sementara itu, projek DC yang dilaksanakan mengikut jadual dipercepatkan berpotensi memberikan margin keuntungan lebih baik.
Dari segi prospek pendapatan, UUE mempunyai buku tempahan kira-kira RM515 juta setakat akhir Julai, bersamaan liputan hasil tahun kewangan 2026 (FY26) sebanyak 2.4 kali, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan bagi tempoh dua tahun akan datang.
Syarikat itu turut mempunyai saluran tender bernilai kira-kira RM700 juta, yang mencatat paras tertinggi, dengan aliran projek dijangka meningkat pada tahun kalendar 2027 hingga 2028.
Prestasi pendapatan juga dijangka bertambah baik dari suku ke suku, didorong sumbangan lebih kukuh dari Malaysia dan Singapura.
Aliran menaik saham masih kekal
Dari sudut teknikal, saham UUE dilihat sedang membentuk asas harga sekitar RM0.70 selepas susut daripada paras tertinggi tahun ini pada RM0.845 berikutan aktiviti pengambilan untung.
Saham itu sebelum ini melonjak kira-kira 145% daripada paras terendah tahun ini pada RM0.345 kepada RM0.845.
Aliran menaik saham berkenaan masih kekal, dengan harga berada di atas garis aliran menaik dan purata bergerak 50 hari (MA50), manakala peningkatan volum belian menunjukkan momentum yang kembali mengukuh.
Penembusan melepasi paras RM0.75, iaitu purata bergerak 20 hari (MA20), berpotensi membuka laluan kepada paras RM0.845 dan seterusnya RM0.895.
Paras sokongan dikenal pasti pada RM0.70, RM0.685 dan RM0.655, manakala paras henti rugi ditetapkan pada RM0.65.
Secara keseluruhan, UUE dilihat berpotensi memanfaatkan peningkatan aliran projek daripada TNB dan sektor swasta, dengan prospek pertumbuhan itu menyokong unjuran kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) pendapatan sesaham (EPS) sebanyak 131.8% bagi tempoh ramalan FY26 hingga FY28. - DagangNews.com




