hamden14/10/2026 - 11:20 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Okt - Sektor pembinaan Malaysia berada di landasan untuk mencatat nilai kontrak baharu tertinggi dalam sejarah, didorong kontrak pusat data (DC) bernilai RM10 bilion yang diperoleh pada suku ketiga 2026, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB).
Firma penyelidikan itu berkata, nilai kontrak domestik baharu melonjak 75% tahun ke tahun kepada RM18.7 bilion bagi tempoh Julai hingga September 2026, menjadikan jumlah terkumpul bagi sembilan bulan pertama tahun ini sebanyak RM46.4 bilion, meningkat 17% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Pencapaian itu berpotensi mengatasi rekod tahunan tertinggi sebanyak RM56 bilion yang dicatatkan pada 2016, disokong saluran projek pusat data yang kukuh.
"Dengan hanya satu suku lagi sebelum tahun berakhir, kami percaya sektor ini berada di landasan untuk menutup tahun dengan rekod nilai kontrak baharu, mengatasi RM56 bilion yang dicatatkan pada 2016," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Antara kontrak domestik utama yang diperoleh pada suku ketiga ialah tiga pakej pembinaan pusat data berskala hiperskala di Port Dickson oleh Gamuda Bhd, dengan nilai gabungan RM5.3 bilion.
Usaha sama MRCB-Theta Edge pula memperoleh pakej sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang bernilai RM3 bilion, manakala Kerjaya Prospek Group Bhd meraih kontrak pusat data sulungnya bernilai RM858 juta.
Di luar negara, Kelington Group Bhd memperoleh kontrak bernilai RM1.8 bilion bagi perkhidmatan penyambungan sistem secara menyeluruh (turnkey hookup) di sebuah kemudahan fabrikasi wafer semikonduktor di India. Gamuda pula memenangi kontrak bernilai RM2.3 bilion bagi peringkat pertama projek Mortlake Energy Hub di Victoria, Australia.
Jangkaan kontrak suku keempat
Bagi suku keempat, HLIB Research menjangkakan saluran projek pusat data yang masih kukuh akan terus menyokong pemberian kontrak baharu. Antara peluang lain yang berpotensi ialah projek bekalan air Perak Utara dan pakej kedua pengurusan serta penyelarasan pembinaan (CMC2) bagi projek LRT Pulau Pinang.
Memasuki 2027, pelaksanaan Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) dijangka menyediakan satu lagi sumber kontrak kepada sektor pembinaan, khususnya bagi pembangunan infrastruktur tenaga boleh baharu (TBB) serta kerja-kerja mekanikal dan elektrikal (M&E).
HLIB berkata, pengurangan Caj Akses Sistem (SAC) kepada 14 sen bagi setiap kilowatt-jam (kWh), bersama tarikh akhir operasi komersial pada penghujung 2028, dijangka merangsang permintaan terhadap tenaga hijau.
Ini khususnya apabila projek pusat data yang baru diluluskan tertakluk kepada keperluan penggunaan tenaga boleh baharu sebanyak 30%, sekali gus membuka peluang tambahan bagi kontraktor terlibat dalam pembangunan infrastruktur tenaga hijau.
Potensi Johor
Selain pusat data dan tenaga boleh baharu, projek Transit Aliran Pantas Autonomi Elektrik (e-ART) Johor berpotensi menjadi satu lagi pemacu utama kontrak baharu pada 2027. Bagaimanapun, masa pelaksanaan projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) masih belum dapat dipastikan.
Secara keseluruhan, HLIB Research mengekalkan penarafan "Overweight" terhadap sektor pembinaan, mengambil kira pembangunan pusat data yang berterusan serta kemunculan peluang projek kemudahan semikonduktor yang dijangka menyokong buku pesanan kontraktor bermodal besar dan pakar kejuruteraan M&E.
Gamuda kekal sebagai pilihan utama HLIB Research dalam kategori pembinaan bermodal besar dengan saranan "Beli" dan harga sasaran RM5.75 sesaham.
Bagi kategori bermodal kecil, Inta Bina Holdings Bhd menjadi pilihan utama firma itu, juga dengan saranan "Beli" dan harga sasaran 76 sen sesaham. - DagangNews.com






