Caj tambahan CRESS 4 sen/kWj jejas daya tarikan tenaga hijau bagi sektor bukan pusat data - CGSI

LocalBusiness & Finance
14 Oct 2026 • 10:02 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Caj tambahan CRESS 4 sen/kWj jejas daya tarikan tenaga hijau bagi sektor bukan pusat data - CGSI Image from: Caj tambahan CRESS 4 sen/kWj jejas daya tarikan tenaga hijau bagi sektor bukan pusat data - CGSI hamden14/10/2026 - 10:02 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 14 Okt - Caj tambahan sebanyak 4 sen bagi setiap kilowatt-jam (kWj) di bawah skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) berpotensi melemahkan daya tarikan kos tenaga hijau kepada pengguna komersial dan perindustrian, meskipun penggunaan tenaga boleh baharu oleh pusat data dijangka kekal menarik.

 

CGS International (CGSI) berkata, semakan struktur Caj Akses Sistem (SAC) yang diumumkan Suruhanjaya Tenaga (ST) semalam, 13 Oktober meningkatkan jumlah caj gabungan kepada 18 sen/kWj, berbanding 14 sen/kWj sebelum ini.

 

Struktur baharu itu merangkumi caj 14 sen/kWj yang ditanggung pemaju tenaga boleh baharu (RE), selain caj tambahan 4 sen/kWj yang perlu dibayar pengguna tenaga hijau sepanjang Tempoh Kawal Selia Keempat (RP4), tertakluk kepada semakan kawal selia setiap tiga tahun.

 

Menurut firma penyelidikan itu, perubahan berkenaan meningkatkan anggaran tarif keseluruhan CRESS kepada 48–50 sen/kWj daripada 44–46 sen/kWj sebelum ini, sekali gus menaikkan kos penggunaan tenaga hijau kira-kira 8–9%.

 

Pengguna bukan pusat data berdepan tekanan kos

CGSI berkata, kesan semakan SAC lebih ketara terhadap potensi permintaan tambahan sebanyak 7–8 gigawatt (GW) daripada sektor komersial dan perindustrian (C&I) bukan pusat data.

 

Ini kerana tarif CRESS yang disemak semula kini secara umumnya setara dengan tarif elektrik konvensional sebelum mengambil kira Pelarasan Bahan Api Automatik (AFA), sekali gus mengurangkan kelebihan kos yang sebelum ini menjadi dorongan utama penggunaan tenaga hijau.

 

"Keadaan itu boleh melemahkan justifikasi ekonomi bagi penggunaan CRESS dalam kalangan pengeluar elektrik dan elektronik (E&E), hospital, pusat beli-belah serta pengguna industri berskala besar yang lain," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Bagaimanapun, CGSI berkata, AFA kekal sebagai faktor penting yang boleh mengubah perbandingan kos antara kedua-dua sumber tenaga.

 

Pada kadar AFA sebanyak 3.6 sen/kWj pada Oktober 2026, unjuran semasa menunjukkan caj itu berpotensi meningkat kepada 7.6 sen/kWj menjelang Januari 2027.

 

Peningkatan kos elektrik konvensional itu berpotensi memulihkan sebahagian kelebihan harga relatif CRESS, namun penggunaan dalam kalangan pelanggan bukan pusat data dijangka lebih selektif, bergantung pada kadar AFA, struktur tarif individu dan komitmen penyahkarbonan korporat.

 

Pelaksanaan penetapan harga karbon pada masa hadapan juga berpotensi menyokong penggunaan tenaga hijau.

 

Pusat data masih menikmati kelebihan tarif

Sebaliknya, CGSI berpandangan caj tambahan 4 sen/kWj itu tidak mengubah secara ketara daya tarikan ekonomi penggunaan CRESS oleh pusat data.

 

Pusat data berskala besar kini membayar kira-kira 60 sen/kWj bagi bekalan elektrik konvensional sebelum AFA.

 

Berbanding tarif keseluruhan CRESS yang dianggarkan sebanyak 48–50 sen/kWj, pengguna pusat data masih menikmati kelebihan tarif sekitar 10–12 sen/kWj atau 17–20% berbanding bekalan konvensional, sebelum mengambil kira AFA.

 

Berdasarkan julat AFA yang diunjurkan Pembeli Tunggal pada kadar 3.6–7.6 sen/kWj bagi tempoh Oktober 2026 hingga Januari 2027, tarif elektrik konvensional bagi pusat data berpotensi meningkat kepada kira-kira 64–68 sen/kWj.

 

Perkembangan itu dijangka melebarkan lagi kelebihan tarif tersirat CRESS, sekali gus mengekalkan daya tarikan bekalan tenaga boleh baharu kepada pengendali pusat data.

 

CGSI menegaskan perbandingan tersebut merujuk kepada tarif keseluruhan yang setara bagi kedua-dua sumber tenaga, bukannya jumlah penjimatan bil elektrik pusat data.

 

Penjimatan sebenar bergantung pada bahagian penggunaan elektrik yang dibekalkan menerusi CRESS serta kos baki bekalan elektrik konvensional yang diperoleh daripada grid.

 

Permintaan daripada pusat data turut disokong oleh perjanjian bekalan elektrik (ESA) yang telah ditandatangani berjumlah 8.8GW setakat Ogos 2026.

 

Kekalkan pandangan positif terhadap sektor utiliti

Walaupun semakan SAC meningkatkan halangan kepada penggunaan CRESS oleh pengguna bukan pusat data, CGSI berpendapat perubahan itu tidak menjejaskan pelaksanaan skim berkenaan secara keseluruhan.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan Overweight bagi sektor utiliti, disokong permintaan elektrik Malaysia yang semakin meningkat serta penembusan tenaga boleh baharu yang terus memacu kitaran peningkatan pelaburan sektor tersebut untuk beberapa tahun akan datang.

 

Saham pilihan utamanya ialah Tenaga Nasional Bhd (Tenaga), Malakoff Corp Bhd dan YTL Power International Bhd, berdasarkan pendedahan mereka terhadap pertumbuhan permintaan elektrik serta kitaran perbelanjaan modal sektor tenaga.

 

Tenaga dilihat sebagai pemudah cara utama dan penerima manfaat teras daripada peningkatan permintaan elektrik serta peralihan tenaga Malaysia.

 

Malakoff pula disokong oleh saluran projek loji turbin gas kitaran gabungan (CCGT) baharu dan tenaga boleh baharu, manakala YTL Power menawarkan pendedahan kepada pertumbuhan pusat data, prospek tawaran awam permulaan (IPO) dan perniagaan bersepadu tenaga elektrik serta tenaga boleh baharu. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved