liza10/11/2026 - 17:43 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Nov – Critical Holdings Berhad memperoleh kontrak kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) bernilai kira-kira RM65 juta daripada sebuah syarikat multinasional untuk membangunkan kemudahan bilik bersih baharu di wilayah utara Malaysia.
Kontrak itu dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuhnya, Critical Sales & Services Sdn Bhd bagi melaksanakan kerja-kerja mereka bentuk dan membina lantai pengeluaran baharu yang dilengkapi pelbagai sistem khusus.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata skop projek merangkumi penyediaan sistem mekanikal, elektrikal dan utiliti proses, selain sistem seni bina bilik bersih serta kerja-kerja pengujian dan pentauliahan sebelum kemudahan berkenaan mula beroperasi. Projek itu dijangka siap pada 31 Mac 2027.
Beri sumbangan kepada prestasi kewangan FY2027
Critical Holdings berkata, kontrak berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada keuntungan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027.
Penganugerahan kontrak itu turut menambah portfolio kerja kumpulan dalam bidang kejuruteraan dan pembinaan kemudahan yang memerlukan sistem persekitaran terkawal.
Dalam pada itu, syarikat memaklumkan tiada mana-mana pengarah, pemegang saham utama atau individu yang mempunyai hubungan dengan mereka mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak berkenaan.
Selain risiko operasi biasa yang berkaitan dengan pelaksanaan kontrak, Critical Holdings tidak menjangkakan sebarang risiko luar biasa daripada projek tersebut. - DagangNews.com





