Padini mulakan semakan dalaman berhubung pembekuan akaun oleh SPRM

LocalBusiness & Finance
25 Apr 2026 • 4:32 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Padini memulakan semakan dalaman bagi menilai keadaan berhubung pembekuan beberapa akaun bank yang dikenal pasti milik syarikat dan anak syarikatnya oleh SPRM.

KUALA LUMPUR - Peruncit pakaian, Padini Holdings Bhd telah memulakan semakan dalaman bagi menilai keadaan berhubung pembekuan beberapa akaun bank yang dikenal pasti milik syarikat dan anak syarikatnya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, syarikat itu memaklumkan berdasarkan maklumat yang ada setakat ini, perintah berkenaan dikeluarkan oleh SPRM berhubung siasatan yang sedang dijalankan melibatkan beberapa pihak ketiga luar kumpulan, yang bukan pekerja, pegawai atau sebahagian daripada pengurusan syarikat.

"Syarikat ingin menegaskan bahawa berdasarkan maklumat semasa, kami tidak mengetahui sebarang dakwaan atau salah laku di pihak syarikat dan memahami bahawa pembekuan akaun tersebut merupakan satu prosedur yang diambil dalam perjalanan siasatan,” menurut kenyataan itu.

Padini memaklumkan, pihaknya telah melantik penasihat undang-undang luar bagi memberikan nasihat berhubung perkara tersebut serta sedang mengambil langkah-langkah yang perlu, termasuk memohon relif sewajarnya bagi tujuan penyahbekuan akaun yang terlibat.

Syarikat itu turut menegaskan bahawa operasi harian kumpulan kekal berfungsi seperti biasa tanpa sebarang gangguan, dengan perniagaan diteruskan seperti biasa.

Padini memaklumkan syarikat akan memberikan kemas kini lanjut dari semasa ke semasa sekiranya terdapat sebarang perkembangan material.

Dalam masa yang sama, syarikat menegaskan komitmen untuk terus memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa berkaitan serta memastikan ketelusan sepanjang proses siasatan.

Semalam, Padini dalam makluman kepada Bursa Malaysia memaklumkan bahawa SPRM telah membekukan beberapa akaun bank yang dikenal pasti milik syarikat dan anak syarikatnya di bawah satu perintah yang dikeluarkan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001. - Bernama 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved