CSA: Peruntukan ahli Parlimen disalur ikut persefahaman – Anwar

LocalPolitics
30 Oct 2026 • 2:43 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: CSA: Peruntukan ahli Parlimen disalur ikut persefahaman – Anwar
Anwar menandatangani buku pelawat pada Program Solat Jumaat Bersama Perdana Menteri di Masjid Muqarabin, Bandar Tasik Selatan di Kuala Lumpur pada Jumaat.

KUALA LUMPUR – Peruntukan kepada ahli Parlimen yang memeterai Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) bersama kerajaan Madani akan disalurkan mengikut persefahaman yang dipersetujui menerusi perbincangan berhubung perbelanjaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu bukan sesuatu yang janggal kerana prinsip sama pernah dilaksanakan ketika beliau menjadi Ketua Pembangkang sebelum ini.

Menurutnya, persefahaman berhubung peruntukan ahli Parlimen juga pernah dilaksanakan ketika kerajaan terdahulu yang diterajui UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkuasa.

"Peruntukan melalui ahli Parlimen itu mengikat pada satu persefahaman seperti mana dilakukan oleh kerajaan Perikatan Nasional dan Barisan Nasional semasa mereka berkuasa dan kita tandatangani, masa itu saya selaku Ketua Pembangkang dan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

"Jadi, peruntukan itu ikut perbelanjaan dalam perbincangan sekarang, perbahasan, sebab diluluskan akhir tahun ini, kita boleh salur ikut persefahaman," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Solat Jumaat Bersama Perdana Menteri di Masjid Muqarabin, Bandar Tasik Selatan, di sini pada Jumaat.

Anwar berkata, peruntukan Parlimen selama ini berjalan seperti biasa untuk ahli Parlimen kerajaan mahupun pembangkang, meskipun terdapat dakwaan kononnya kerajaan menyekat penyalurannya.

Menurutnya, persefahaman berkenaan juga terbuka kepada mana-mana pihak yang bersetuju menggunakan kaedah sama seperti yang pernah dilaksanakan kerajaan terdahulu.

Beliau menjelaskan kaedah itu bukan peraturan baharu yang diperkenalkan kerajaan ketika ini, sebaliknya pendekatan yang pernah digunakan dan dipersetujui Bersatu, Pas serta Barisan Nasional (BN).

Mengulas dakwaan penganalisis politik bahawa CSA berkenaan menjadi peringatan kepada komponen Kerajaan Perpaduan supaya tidak menarik sokongan serta memastikan Belanjawan 2027 diluluskan, Anwar berkata, tafsiran sedemikian adalah sebahagian daripada pandangan politik.

"Ya, ini tafsiran politik, tak boleh kita kritikal, memang akan berlaku, tetapi saya nak beritahu ini bukan sesuatu yang janggal.

"Persefahaman ini berlaku dalam banyak negara demokrasi, tetapi dalam pengalaman di Malaysia, memang ada perundingan dahulu," katanya.

Beliau berkata, rundingan terdahulu turut membabitkan wakil Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan ketika itu yang terdiri daripada wakil Bersatu, Pas, UMNO serta Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Ditanya sama ada CSA yang bermula dengan Bersatu akan diperluaskan kepada mana-mana Ahli Parlimen pembangkang lain, Anwar berkata, tiada syarat dikenakan terhadap mereka yang mahu mencapai persefahaman berkenaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved