Peruntukan Ahli Parlimen Pembangkang Diberi Selepas Belanjawan 2027 Diluluskan - PM

LocalPolitics
30 Oct 2026 • 6:37 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Peruntukan Ahli Parlimen Pembangkang Diberi Selepas Belanjawan 2027 Diluluskan - PM

KUALA LUMPUR -,Ahli Parlimen pembangkang yang menandatangani Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) bersama Kerajaan MADANI akan menerima peruntukan masing-masing sebaik sahaja Belanjawan 2027 diluluskan oleh Parlimen.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 ketika ini masih dalam peringkat perbahasan di Dewan Rakyat dan dijangka diluluskan menjelang penghujung tahun ini.

Menurut beliau, penyaluran peruntukan berkenaan boleh dilaksanakan sejurus selepas kelulusan diperoleh, selaras dengan persetujuan yang telah dicapai antara kedua-dua pihak.

“Apabila Parlimen meluluskannya, kita boleh menyalurkan peruntukan tersebut dengan segera berdasarkan persefahaman yang telah dipersetujui,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Muqarrabin, Bandar Tasik Selatan, hari ini.

Semalam, enam Ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menandatangani perjanjian berkenaan di Parlimen, sekali gus bersetuju memberikan sokongan kepada pentadbiran Anwar sehingga tamat penggal, termasuk dalam urusan meluluskan Belanjawan 2027.

Mereka terdiri daripada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pagoh); Datuk Dr Radzi Jidin (Putrajaya); Datuk Ali Biju (Saratok); Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (Langkawi); Nazri Abu Hassan (Merbok) dan Datuk Azman Nasrudin (Padang Serai).

Turut menandatangani perjanjian itu ialah Ahli Parlimen Muar daripada MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, selain enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat daripada parti berkenaan pada 2024 selepas menyatakan sokongan kepada kerajaan.

Anwar berkata, pendekatan sama turut terbuka kepada Ahli Parlimen lain dan menyifatkan persetujuan itu bukan sesuatu yang luar biasa dalam amalan demokrasi negara.

Beliau mengambil contoh rundingan berkaitan peruntukan Parlimen yang pernah berlangsung pada 2021 ketika beliau mengetuai pembangkang.

Katanya, ketika itu, Pakatan Harapan turut mengadakan perbincangan dengan kerajaan yang melibatkan UMNO, Barisan Nasional, PAS dan Bersatu bagi mencapai persetujuan berhubung penyaluran peruntukan kepada wakil rakyat.

“Prinsipnya sama seperti yang saya lakukan ketika menjadi Ketua Pembangkang dahulu. Ketika itu, kita mengadakan perbincangan dan mengemukakan cadangan berkaitan peruntukan. Jadi, perkara ini bukan sesuatu yang luar biasa,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar menolak dakwaan kononnya Ahli Parlimen pembangkang sebelum ini dinafikan peruntukan, sebaliknya menegaskan, kemudahan pembiayaan kepada wakil rakyat kerajaan atau pembangkang tetap diteruskan.

Beliau turut menyifatkan perkembangan terbaharu itu sebagai satu kemajuan positif, sambil menegaskan bahawa Ahli Parlimen lain boleh mengadakan persetujuan seumpamanya menerusi pendekatan yang sama.

Mengulas dakwaan bahawa CSA berkenaan merupakan satu bentuk amaran kepada parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan supaya tidak menarik balik sokongan kerana bimbang kehilangan peruntukan, Anwar menyifatkannya sebagai tafsiran politik semata-mata.

"Perjanjian seumpama itu merupakan amalan yang turut dilaksanakan di negara demokrasi lain, malah Malaysia sendiri pernah melalui proses rundingan politik hampir sama di bawah pentadbiran terdahulu.

“Wakil daripada Bersatu, PAS, UMNO dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pernah terlibat dalam perbincangan bersama Pakatan Harapan ketika rundingan bagi mencapai perjanjian terdahulu,” katanya. - Getaran, 30 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved