liza14/10/2026 - 09:28 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Okt – Risiko kehilangan pelanggan, pertumbuhan perniagaan yang lebih perlahan serta peningkatan kos keselamatan siber dan pematuhan menjadi kebimbangan utama terhadap prospek CTOS Digital Berhad selepas insiden serangan siber, kata penganalisis.
Kesan berkenaan bukan sahaja berpotensi menjejaskan keuntungan bagi tahun kewangan 2026, malah menimbulkan persoalan mengenai keupayaan CTOS memulihkan pertumbuhan pendapatan dalam tempoh berikutnya, khususnya jika pemerolehan pelanggan baharu mengambil masa lebih lama dan kos operasi terus meningkat.
BIMB Securities Research mengurangkan unjuran keuntungan CTOS bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028 masing-masing sebanyak 17.1%, 18.6% dan 20.1%, selepas mengambil kira anggaran kerugian berkaitan insiden serta jangkaan pemulihan perkhidmatan yang lebih perlahan.
Firma penyelidikan itu turut mengambil kira risiko kehilangan pelanggan, kelewatan mendapatkan pelanggan baharu serta peningkatan kos keselamatan siber dan pematuhan yang boleh terus menekan pertumbuhan keuntungan syarikat.
Menurut BIMB Securities, pengurusan CTOS menganggarkan gangguan perkhidmatan itu memberi kesan RM16 juta terhadap hasil dan RM12 juta terhadap keuntungan selepas cukai yang boleh diagihkan kepada pemegang saham syarikat induk (PATAMI) bagi tahun kewangan 2026, dengan andaian perkhidmatan terjejas kekal tidak tersedia sehingga minggu ketiga Oktober 2026.
Daripada jumlah itu, kesan terhadap PATAMI dianggarkan RM5 juta pada suku ketiga 2026 dan RM7 juta pada suku keempat, manakala kehilangan hasil masing-masing dianggarkan RM3 juta dan RM13 juta.
ARTIKEL BERKAITAN: Sistem CTOS diceroboh, sebahagian data pengguna terjejas
BIMB Securities menganggarkan setiap minggu tambahan gangguan boleh mengurangkan hasil sebanyak RM2.5 juta dan PATAMI sebanyak RM1.3 juta, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap prestasi kewangan sekiranya pemulihan mengambil masa lebih lama.
BIMB turunkan harga sasaran kepada RM0.55
Sejajar dengan penilaian risiko yang lebih berhati-hati, BIMB Securities menurunkan harga sasaran saham CTOS kepada RM0.55 daripada RM0.91, tetapi mengekalkan saranan Beli.
Firma itu mengurangkan gandaan harga kepada aliran tunai bebas (P/FCF) kepada 15.2 kali daripada 21.1 kali, dengan mengambil kira kemungkinan peningkatan kos keselamatan siber dan pematuhan serta pertumbuhan pelanggan yang lebih perlahan.
BIMB Securities bagaimanapun berpandangan asas perniagaan jangka panjang CTOS masih relevan dan gangguan itu merupakan kemunduran sementara. Namun, firma berkenaan memilih penilaian lebih konservatif sehingga kebolehpercayaan perkhidmatan dipulihkan sepenuhnya dan kesan komersial jangka panjang menjadi lebih jelas.
RHB Research jangka kesan kewangan lebih tertumpu pada 2026
Sementara itu, RHB Research menjangkakan kesan kewangan terhadap CTOS lebih tertumpu pada tahun kewangan 2026 dengan pemulihan perniagaan dijangka berlaku selepas perkhidmatan kembali beroperasi.
Firma itu mengurangkan unjuran keuntungan CTOS bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028 masing-masing sebanyak 12.6%, 2.7% dan 1.7%, jauh lebih kecil berbanding pengurangan unjuran BIMB Securities bagi 2027 dan 2028.
ARTIKEL BERKAITAN: CTOS Digital jangka hasil terjejas RM16 juta akibat serangan siber
“Kami menganggarkan kesan terhadap keuntungan bersih CTOS bagi 2026 boleh mencecah RM12 juta, termasuk kos berkaitan pemulihan sistem dan usaha meningkatkan protokol keselamatan siber. Setiap minggu tambahan gangguan pula dijangka mengurangkan keuntungan bersih sebanyak RM1.3 juta.
“Segmen pengguna dijangka menerima kesan paling besar, diikuti pelanggan utama, manakala kesan terhadap segmen komersial dijangka lebih kecil kerana penyelesaiannya tidak bergantung sepenuhnya pada Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS),” kata firma tersebut.
RHB Research berpandangan penurunan harga saham CTOS selepas perkembangan itu adalah keterlaluan berbanding kesan yang dijangkakan terhadap perniagaan terasnya. Firma itu turut menjangkakan pemulihan lebih cepat memandangkan kepentingan perkhidmatan pelaporan kredit dalam ekosistem institusi kewangan.
RHB kekalkan saranan beli dengan harga sasaran RM1.06
RHB Research mengekalkan saranan Beli terhadap saham CTOS dengan harga sasaran RM1.06 berbanding RM1.10 sebelum ini, berdasarkan jangkaan pemulihan perniagaan serta penilaian saham yang dianggap menarik berikutan pendapatan berulang dan keupayaan menjana aliran tunai.
Firma itu mengunjurkan keuntungan bersih berulang CTOS sebanyak RM87 juta pada 2026, RM97 juta pada 2027 dan RM110 juta pada 2028.
Perbezaan unjuran kedua-dua firma menunjukkan ketidakpastian utama terhadap CTOS bukan hanya melibatkan kerugian kewangan jangka pendek, tetapi juga sejauh mana syarikat itu mampu memulihkan keyakinan pelanggan dan pertumbuhan keuntungan dalam tempoh berikutnya. - DagangNews.com





