johardy13/10/2026 - 18:32 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Okt - CTOS Digital Berhad menganggarkan insiden keselamatan siber yang menjejaskan sebahagian perkhidmatan pelaporan kredit penggunanya berpotensi mengurangkan hasil sebanyak kira-kira RM16 juta dan keuntungan selepas cukai serta kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM12 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.
Anggaran itu dibuat berdasarkan andaian bahawa perkhidmatan tertentu yang terjejas, termasuk CTOS Score dan laporan berkaitan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS), masih tidak dapat digunakan sehingga minggu ketiga Oktober 2026.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat pelaporan kredit itu berkata, setiap minggu tambahan gangguan perkhidmatan dianggarkan boleh menyebabkan hasil terjejas sebanyak RM2.5 juta lagi dan PATAMI sebanyak RM1.3 juta.
Bagi suku ketiga 2026, CTOS Digital menganggarkan hasil terjejas kira-kira RM3 juta manakala kesan terhadap PATAMI berjumlah RM5 juta.
Anggaran bagi suku keempat pula masing-masing berjumlah RM13 juta terhadap hasil dan RM7 juta terhadap PATAMI, menjadikan jumlah keseluruhan kesan kewangan yang dianggarkan bagi tahun ini sebanyak RM16 juta terhadap hasil dan RM12 juta terhadap PATAMI.
Syarikat itu menegaskan bahawa anggaran tersebut masih bersifat awal dan mengambil kira jangka masa gangguan perkhidmatan yang dijangkakan serta kos berkaitan usaha pemulihan dan pengoperasian semula perkhidmatan.
Perkhidmatan pelaporan kredit terganggu
CTOS Digital berkata, sebahagian perkhidmatan pelaporan kreditnya masih tidak dapat digunakan buat sementara waktu susulan insiden keselamatan siber yang diumumkan pada 23 September lalu, membabitkan persekitaran sistem tertentu yang menyokong perniagaan pengguna syarikat itu.
Bagaimanapun, perkhidmatan lain terus beroperasi seperti biasa.
Dalam pengumuman pada 23 September itu, syarikat berkenaan memaklumkan bahawa sistem keselamatan sibernya mengesan akses tanpa kebenaran terhadap persekitaran sistem yang terjejas dan fail data tertentu yang mengandungi sebahagian terhad maklumat pengguna yang telah diproses turut diakses.
Ketika itu, CTOS Digital menyatakan bahawa insiden berkenaan tidak memberikan kesan kewangan material berdasarkan maklumat yang tersedia pada masa tersebut.
Dalam perkembangan terbaharu hari ini, syarikat itu berkata, langkah pemulihan dan keselamatan telah dilaksanakan, manakala semakan bebas sedang dijalankan bagi mengesahkan keberkesanan langkah berkenaan dengan sasaran penyelesaian pada Oktober 2026.
Syarikat itu sedang berusaha memulihkan perkhidmatan yang terjejas secepat mungkin, tertakluk kepada penyempurnaan langkah pemulihan yang memuaskan serta pengesahan bebas.
Semakan keselamatan siber diteruskan
CTOS Digital berkata, anggaran awal kesan kewangan itu masih tertakluk kepada semakan apabila maklumat lanjut diperoleh.
Syarikat itu akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan serta pakar bebas bagi menyelesaikan proses pemulihan dan pengesahan tersebut.
CTOS Digital turut menegaskan komitmennya untuk menjalankan perniagaan secara bertanggungjawab, telus dan mematuhi keperluan yang ditetapkan, selain akan membuat pengumuman lanjut sekiranya terdapat perkembangan penting yang perlu dimaklumkan. — DagangNews.com





