Cuaca buruk tidak patah semangat pelatih PLKN Sabah untuk lapor diri

4 Oct 2026 • 1:11 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Cuaca buruk tidak patah semangat pelatih PLKN Sabah untuk lapor diri

Tuaran: Cuaca buruk yang melanda beberapa kawasan di negeri ini tidak mematahkan semangat pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 4/2026 untuk hadir melapor diri di Pusat Latihan Rela Negeri Sabah (PLRNS), Gayang, di sini, Sabtu.

Malah, ada pelatih sanggup memulakan perjalanan seawal jam 2 pagi dari daerah masing-masing bagi memastikan mereka tidak terlepas peluang menyertai program berkenaan.

Antara mereka ialah Nurhakim Asirun, 18, dari Batu 3, Sandakan, yang menjadikan PLKN sebagai langkah awal merealisasikan cita-citanya dalam bidang ketenteraan.

Nurhakim berkata, dia sangat bersemangat dan tidak sabar selepas menerima tawaran menyertai PLKN menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), malah sejak tamat persekolahan menengah giat menjalani latihan fizikal sebagai persediaan untuk mengejar impiannya.

“Baru-baru ini saya menjalani ujian fizikal untuk menyertai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), namun tidak berjaya disebabkan masalah tekanan darah tinggi. Bagaimanapun, kegagalan itu tidak mematahkan semangat saya,” katanya.

Menurutnya, dia melihat PLKN sebagai peluang terbaik untuk meningkatkan kecergasan, disiplin dan ketahanan diri, selain menjadikan program itu sebagai pembakar semangat untuk terus mengejar cita-cita dalam bidang ketenteraan.

Justeru, katanya, dia bersama keluarga bertolak dari Sandakan seawal jam 2 pagi bagi mengelakkan kemungkinan berdepan halangan perjalanan seperti banjir dan pokok tumbang.

“Saya mahu gunakan peluang menyertai PLKN ini sebagai pembakar semangat dan latihan awal untuk mempersiapkan diri sebelum cuba lagi menyertai pasukan tentera pada masa akan datang,” katanya.

Norida Chen, 18, dari Kinarut, Papar, sanggup meninggalkan pekerjaan sebagai kakitangan sebuah syarikat kurier selepas enam bulan demi mendapatkan pengalaman baharu menerusi PLKN 3.0.

Norida berkata, pada awalnya dia terkejut apabila menerima tawaran berkenaan, namun selepas menonton beberapa rakaman video PLKN di YouTube, perasaan teruja mula timbul dan mendorongnya mencuba pengalaman baharu itu.

“Saya sangat teruja kerana tidak pernah merasai pengalaman seperti ini sebelum ini dan ibu bapa juga menyokong keputusan saya,” katanya.

Bagi Clara Jay Jimmy, 18, dari Kudat, peluang menyertai PLKN 3.0 pula disambut dengan perasaan gembira dan teruja kerana menganggap program itu sebagai ruang untuk mempelajari perkara baharu, membina keyakinan diri serta mengenali rakan daripada pelbagai latar belakang.

“Saya sangat gembira dan teruja apabila mendapat tawaran menyertai PLKN. Walaupun pada awalnya tidak tahu bagaimana pengalaman yang akan dilalui, saya anggap ini peluang untuk belajar perkara baharu dan membina keyakinan diri,” katanya.

Noralyashazwanie, 18, dari Rampayan, Menggatal, pula mengakui berasa gementar ketika pertama kali melapor diri, namun tetap memberanikan diri menyahut cabaran untuk mengikuti program berkenaan dan berharap dapat menyesuaikan diri dengan cepat.

“Saya berasa gementar kerana ini pengalaman baharu bagi saya, tetapi saya cuba memberanikan diri dan anggap PLKN sebagai satu cabaran yang perlu saya sahut. Saya berharap dapat belajar banyak perkara sepanjang latihan dan menjadi lebih berdisiplin serta yakin dengan diri sendiri,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Operasi Latihan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Kolonel Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Mazlizan Shaikh Osman, berkata sambutan terhadap PLKN 3.0 Siri 4/2026 amat menggalakkan apabila seramai 2,009 pelatih mengesahkan kehadiran untuk melapor diri di lapan kem di seluruh negara.

Katanya, jumlah berkenaan melepasi sasaran pengambilan 1,203 pelatih bagi siri itu dan membantu melengkapkan sasaran tahunan sebanyak 4,200 pelatih bagi 2026, sekali gus menunjukkan penerimaan positif masyarakat terhadap pelaksanaan PLKN 3.0.

“Jumlah ini merupakan satu perkembangan yang amat positif dan menunjukkan bahawa PLKN 3.0 semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, khususnya ibu bapa yang melihat program ini sebagai satu platform yang bermanfaat dalam membentuk jati diri anak-anak mereka,” katanya.

Mazlizan berkata, penerimaan positif itu turut disokong dapatan penilaian kepuasan ibu bapa apabila keenam-enam elemen utama yang dinilai mencatatkan lebih 90 peratus maklum balas positif.

Penilaian validasi yang dijalankan JLKN bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) membabitkan 571 responden ibu bapa daripada keseluruhan 4,199 pelatih bagi siri terdahulu.

Ia meliputi aspek patriotisme dan kesetiaan, perpaduan dan toleransi, disiplin dan transformasi diri, ketahanan mental dan kesiapsiagaan, kesukarelawanan serta keberkesanan program.

Secara keseluruhan, keenam-enam elemen itu merekodkan purata 95.55 peratus bagi gabungan respons Sangat Setuju dan Setuju, manakala keberkesanan program mencatat skor tertinggi sebanyak 97.98 peratus.

PLKN 3.0 Siri 4/2026 berlangsung dari 3 Okt hingga 16 Nov, membabitkan lapan kem, termasuk PLRNS di Tuaran yang menempatkan 251 pelatih lelaki dan perempuan.

Seramai 250 pelatih dijadual melapor diri di Sabah pada Sabtu.

Pihak PLKN turut memberi peluang kepada pelatih untuk tiba sehingga dua hari lewat berikutan keadaan cuaca buruk dan faktor perjalanan jauh di negeri ini.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved