
KAMPAR – Kemalangan ketika sesi latihan di Shah Alam semalam langsung tidak mematahkan semangat jaguh pecut Itali, Matteo Malucelli apabila berjaya menawan Peringkat 1 perlumbaan Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) dari Shah Alam ke Kampar, hari ini.
Pelumba pasukan XDS Astana Team itu menamatkan perlumbaan dengan catatan masa empat jam enam minit 53 saat (4:06:53s) selepas menempuh laluan sejauh 193 kilometer (km) menerusi keputusan penamat pecut beramai-ramai.
Kemenangan bertenaga itu menyaksikan Malucelli berjaya menewaskan cabaran sengit Riley Pickrell dari Modern Adventure Pro Cycling dan pakar pecut Caja Rural-Seguros RGA, Fernando Gaviria yang masing-masing merekodkan catatan masa sama di tempat kedua dan ketiga.
Lebih manis, kayuhan berani itu membolehkan Malucelli menyapu bersih dua jersi utama iaitu Jersi Jingga selaku Pendahulu Keseluruhan (GC) dan Jersi Biru (Raja Pecut) selepas mengumpul 15 mata, mendahului Pickrell (12 mata) serta Gaviria (sembilan mata).

Kejayaan itu dianggap cukup dramatik memandangkan Malucelli terbabit dalam kemalangan kurang 24 jam sebelum perlumbaan bermula akibat tergelincir di selekoh jalan basah, menyebabkan tangannya terhentak kuat ke atas jalan raya.
Bagaimanapun, pemeriksaan imbasan sinar-X (X-ray) di hospital mengesahkan tiada sebarang keretakan serius dialami pada bahagian tangannya, sekali gus membolehkan pihak perubatan memberi lampu hijau untuk dia turun beraksi.
“Saya sendiri pada awalnya tidak pasti sama ada sudah menang atau belum. Naluri saya mengatakan ya, tetapi saya perlu melihat foto penamat terlebih dahulu bagi memastikannya kerana tahun lalu kami pernah berdepan kejutan saat akhir.
“Semalam saya terbabit dalam kemalangan, jadi apabila dapat memenangi peringkat pertama ini, ia satu petanda bahawa tubuh saya memberikan tindak balas yang sangat baik,” katanya ketika ditemui sejurus melepasi garisan penamat.
Kejayaan tersebut turut mengekalkan rentak cemerlang Malucelli yang sebelum ini meraih kemenangan pada saingan Tour of Taihu Lake di China, 11 hari lalu, selain melakar gelaran juara ke-23 sepanjang karier profesionalnya.
Malucelli turut memuji kerjasama erat rakan sepasukannya yang bekerja keras mengawal tempo perlumbaan sejak awal.
“Pasukan melakukan tugas yang luar biasa sejak awal saingan. Kami mengawal perlumbaan dan Gleb (Syritsa) melakuka permulaan yang hebat, begitu juga Aaron (Gate) serta Lev Gonov. Laluan berliku pada penghujung saingan sentiasa sukar, tetapi saya cuba memberikan kayuhan terbaik,” ujarnya.
Sementara itu, dalam persaingan merebut Jersi Polka Dot (Raja Bukit), Petr Rikunov dari China Development Team kini mendahului dengan mengutip empat mata, diikuti pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Kee Zhe Yie (dua mata) dan Muhammad Syawal Mazlin daripada Malaysia Pro Cycling (satu mata).
Bagi kategori Pelumba Terbaik Asia (Jersi Putih), pelumba kebangsaan yang mewakili TSG, Muhammad Nur Aiman Rosli muncul pelumba terbaik rantau ini selepas melintasi garisan penamat dengan catatan masa 4:06:53s, mengatasi Oda Hijiri (ART) dan Muhammad Izzat Hilmi Abdul Halil (Malaysia Pro Cycling).
Saingan Peringkat 2 esok bakal menguji ketahanan fizikal pakar pendakian apabila perlumbaan bermula dari Taiping menuju ke puncak Gunung Jerai melibatkan pertempuran sejauh 145.6km.
The post LTdL 2026: Kemalangan tak halang Malucelli tawan Peringkat 1 appeared first on Kosmo Online.






