Cuaca cerah, pengundian awal PRN Melaka berlangsung lancar pagi ini

LocalPolitics
10 Nov 2026 • 9:59 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Cuaca cerah, pengundian awal PRN Melaka berlangsung lancar pagi ini

MELAKA - Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 pagi ini berjalan lancar, dengan sebahagian anggota keselamatan mengambil kesempatan cuaca cerah di awal pagi untuk hadir ke pusat pengundian.

Di Pusat Pengundian Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, tinjauan Bernama mendapati anggota polis yang layak mengundi hadir seawal 7.30 pagi dan mula beratur untuk menunaikan tanggungjawab mengundi pada 7.53 pagi.

Proses pengundian berjalan dalam keadaan terkawal sebaik pusat mengundi yang terletak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh itu dibuka pada 8 pagi, dibantu petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dengan 817 anggota polis akan mengundi awal di pusat berkenaan.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar yang tiba pada 7.52 pagi, meluangkan masa meninjau perjalanan proses pengundian sebelum menunaikan tanggungjawabnya mengundi di saluran satu pada 8.42 pagi.

DUN Ayer Keroh menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan penyandang Kerk Chee Yee (Pakatan Harapan), Datuk Seri Michael Gan Peng Lam (Perikatan Nasional), Muhammad Muhaimin Lau Abdullah (Parti Bersama Malaysia) dan Mohd Hamnaim Mohamad (Parti Pribumi Bersatu Malaysia).

Mohd Hamnaim turut dilihat meninjau proses pengundian di pusat itu.

Di Kem Terendak, Sungai Udang, proses pengundian turut berlangsung dalam keadaan terkawal dengan anggota tentera serta pasangan mereka, mula hadir bagi menunaikan tanggungjawab masing-masing sebaik pusat-pusat mengundi di kem itu dibuka pada 8 pagi.

Sebahagian daripada mereka yang hadir bersama dengan anak masing-masing, menarik perhatian pengamal media untuk merakamkan gelagat si kecil yang mengikut ibu bapa mereka ke pusat pengundian pada awal pagi.

Pengundi terlebih dahulu menyemak nama serta butiran diri di kaunter semakan yang disediakan pihak tentera, sebelum menuju ke saluran masing-masing, manakala para petugas SPR turut membantu pengundi mendapatkan maklumat berkaitan proses pengundian.

Sebanyak tiga pusat mengundi dibuka di kem itu, melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Terendak I dengan enam saluran dan 2,850 pemilih, SK Kem Terendak II dengan enam saluran dan 2,660 pengundi, serta Sekolah Menengah Kebangsaan Kem Terendak melibatkan lima saluran dengan 2,189 pemilih.

Secara keseluruhannya, sebanyak 31 pusat mengundi awal bagi PRN Melaka ke-16 dibuka tepat 8 pagi ini, bagi membolehkan 12,531 pasukan keselamatan bersama pasangan masing-masing menunaikan tanggungjawab mereka.

Mengikut statistik SPR, sejumlah 9,769 anggota tentera dan pasangan serta 2,762 anggota polis akan melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Kesemua pusat pengundian berkenaan akan ditutup secara berperingkat mengikut jadual yang ditetapkan SPR bermula dari 12 tengah hari, 2 petang hingga 5 petang, hari ini.

Secara keseluruhan, sebanyak 687,697 pengundi layak menjalankan tanggungjawab pada PRN Melaka kali ini, dengan SPR menetapkan hari ini bagi pengundian awal, manakala 14 Nov sebagai hari pengundian. - 10 November, 2026

The post Cuaca cerah, pengundian awal PRN Melaka berlangsung lancar pagi ini appeared first on Scoop.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved