MELAKA: Sebanyak 19 laporan polis berkaitan pelbagai kesalahan diterima sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 tetapi tiada sebarang tangkapan dibuat.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, daripada jumlah itu, 18 kertas siasatan dibuka membabitkan kesalahan khianat, pembakaran bendera parti, hasutan dan ugutan.
Menurutnya, kebanyakan kes yang disiasat melibatkan kesalahan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan berkaitan khianat, selain kes khianat menggunakan api.
“Setakat hari ini, 10 November, sebanyak 19 laporan polis telah diterima oleh pihak kami dan sebanyak 18 kertas siasatan telah dibuka.
“Kebanyakannya melibatkan kes khianat termasuk pembakaran bendera. Selain itu, ada juga kes di bawah Akta Hasutan 1948 dan kes ugutan.
“Setakat ini tidak ada tangkapan,” katanya ketika ditemui selepas membuat pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang di sini hari ini.
Menurut Dzulkhairi, keadaan keselamatan sepanjang tempoh berkempen terkawal tanpa sebarang insiden serius yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
Katanya, seramai 669 anggota polis digerakkan sepanjang tempoh berkempen bagi memastikan tindakan segera dapat diambil sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.
“Sepanjang kempen ini agak tenang, tidak ada insiden yang meruncingkan dan semuanya terkawal,” katanya.
Beliau berkata, seramai 2,445 pegawai dan anggota polis dijadual menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal di seluruh Melaka hari ini.
Selain polis, katanya, 9,769 tentera turut mengundi.
“Sebanyak 12 pusat pengundian bagi polis dan tujuh bagi angkatan tentera menjadikan jumlah keseluruhan pusat pengundian awal ialah sebanyak 19 pusat pengundian di seluruh negeri Melaka,” katanya. – UTUSAN
The post PRN Melaka: Ugutan, bakar bendera lawan antara 19 laporan polis diterima appeared first on Utusan Malaysia.




