Masih ada taktik kempen ‘kotor’ di Melaka

LocalPolitics
10 Nov 2026 • 11:48 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Masih ada taktik kempen ‘kotor’ di Melaka

MELAKA – Sebanyak 19 laporan polis diterima melibatkan beberapa kesalahan antaranya khianat, khianat menggunakan api dan pergaduhan dalam tempoh 11 hari kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, bermula 31 Okt lepas.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam tempoh itu juga sebanyak 18 kertas siasatan telah dibuka namun tiada tangkapan dibuat setakat ini.

“Kebanyakan kertas siasatan tersebut dibuka di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan kianat dan Seksyen 435 KK iaitu khianat dengan api melibatkan tindakan membakar bendera.

“Selain itu, terdapat juga kesalahan hasutan dan ugutan,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di Bukit Beruang di sini hari ini.

Beliau berkata situasi kempen sepanjang tempoh itu juga tenang dan terkawal dengan tiada insiden kekacauan dilaporkan.

Dzulkhairi berkata 669 anggota digerakkan di lapangan untuk memantau perjalanan kempen PRN Melaka ke-16 bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.

Mengulas persiapan menjelang hari pengundian pada 14 Nov ini, beliau berkata sebanyak 3,332 anggota polis akan ditugaskan termasuk pemantau proses pengundian di semua pusat mengundi di negeri itu.

Beliau berkata Pasukan Cantas juga akan digerakkan pada hari berkenaan dan memberi amaran polis tidak akan teragak-agak untuk membuat tangkapan sekiranya berlaku kekecohan.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati penyokong parti politik supaya menjaga tingkah laku dan mematuhi undang-undang serta mengelakkan sebarang bentuk ugutan atau paksaan terhadap pengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pengundian awal PRN Melaka ke-16 hari ini, manakala hari pengundian pada 14 November.- Bernama

The post Masih ada taktik kempen ‘kotor’ di Melaka appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved