hamden24/09/2026 - 09:42 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Sept - Prospek sektor perladangan kekal positif secara taktikal susulan peningkatan risiko cuaca kering dan El Niño sangat kuat yang berpotensi menjejaskan hasil buah tandan segar (BTS) serta mengetatkan bekalan minyak sawit mentah (MSM) pada 2027.
MBSB Research berkata peningkatan jumlah titik panas di rantau ini mengukuhkan tanda-tanda keadaan kering yang semakin buruk, dengan risiko cuaca kering berpanjangan berpotensi memberi tekanan kepada hasil BTS dan seterusnya menyokong harga MSM.
Data ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) menunjukkan jumlah titik panas di Malaysia melonjak lebih 100% tahun ke tahun kepada 265 pada Ogos 2026, manakala Indonesia mencatatkan 15,186 titik panas, juga meningkat lebih 100% tahun ke tahun.
Daripada jumlah itu, sebanyak 13,260 titik panas atau 87.3% direkodkan di Kalimantan, menunjukkan tumpuan aktiviti kebakaran yang ketara di wilayah berkenaan.
“Jika keadaan kering berterusan, hasil BTS yang lebih rendah boleh mengetatkan bekalan minyak sawit dan menyokong harga MSM.
“Justeru, kami mengekalkan pendirian positif (taktikal) terhadap sektor ini,” katanya dalam nota penyelidikan.
Menurut penganalisis, risiko itu menjadi lebih ketara apabila kebarangkalian berlakunya El Niño kuat hingga sangat kuat dijangka meningkat daripada 77% pada Oktober kepada 98% menjelang Disember.
Unjuran September National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) turut meletakkan kebarangkalian El Niño sangat kuat pada 93% bagi November 2026 hingga Januari 2027 dan 75% bagi Disember 2026 hingga Februari 2027.
Keadaan itu meningkatkan risiko tempoh kering yang lebih panjang di Indonesia, aktiviti titik panas berterusan serta jerebu berulang, dengan tekanan kelembapan berpotensi menjejaskan hasil BTS selepas tempoh kelewatan.
Penganalisis berkata pengalaman El Niño sangat kuat pada 2015-16 menunjukkan keadaan kering berpanjangan di Sumatera dan Kalimantan boleh meningkatkan aktiviti kebakaran sebelum jerebu melanda Malaysia.

Menurutnya, Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG) melaporkan 76.5% daripada zon bermusim yang dipantau telah memasuki musim kering pada awal Ogos 2026, manakala beberapa kawasan di Kalimantan Selatan kemudiannya mencatatkan tempoh 31 hingga 60 hari berturut-turut tanpa hujan.
“Risiko yang sama kini semakin meningkat di Indonesia. Tumpuan titik panas di Kalimantan berlaku seiring dengan defisit hujan yang lebih ketara, meningkatkan risiko kebakaran dan tekanan kelembapan terhadap ladang di bahagian Indonesia,” katanya.
Namun, keadaan di Malaysia dilihat lebih terkawal dengan taburan hujan pada Ogos antara 50 hingga 350 milimeter di Semenanjung Malaysia, 50 hingga 300 milimeter di Sabah dan 50 hingga 200 milimeter di Sarawak.
Banyak kawasan menerima hujan melebihi paras minimum bulanan kira-kira 100 hingga 110 milimeter yang diperlukan tanaman kelapa sawit, manakala hujan pada September turut memberikan sedikit kelegaan.
Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan Monsun Barat Daya berakhir pada September, diikuti tempoh peralihan monsun yang membawa ribut petir dan berpotensi mengurangkan keadaan kering buat sementara waktu.
Jerebu jejaskan aktiviti penuaian
Bagaimanapun, penganalisis berkata risiko jerebu rentas sempadan kekal menjadi kebimbangan kepada industri perladangan Malaysia kerana asap daripada Sumatera boleh sampai ke Semenanjung Malaysia, manakala kebakaran di Kalimantan boleh menjejaskan Sabah dan Sarawak bergantung kepada arah angin.
Jerebu berpotensi mengganggu aktiviti penuaian, pembajaan dan penyelenggaraan ladang, sekali gus memberi kesan kepada produktiviti walaupun taburan hujan di ladang Malaysia kekal mencukupi.
“Buat masa ini, ladang Malaysia kekal dalam keadaan munasabah, manakala tumpuan titik panas di Indonesia menunjukkan tekanan kelembapan dan risiko bekalan yang lebih tinggi dalam tempoh terdekat,” katanya.
Dari segi hasil, data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan purata hasil BTS ladang Malaysia susut 1.5% tahun ke tahun kepada 10.83 tan sehektar bagi tempoh lapan bulan 2026, berbanding 11.00 tan sehektar dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Semenanjung Malaysia mencatatkan penurunan hasil lebih ketara sebanyak 7.8% tahun ke tahun kepada 11.29 tan sehektar, manakala Sabah dan Sarawak secara gabungan meningkat 5.8% kepada 10.48 tan sehektar daripada 9.98 tan sehektar.
Penganalisis berkata angka itu menunjukkan kesan terhadap bekalan masih tidak sekata dan penuaian semasa belum menunjukkan penguncupan yang dipacu cuaca di seluruh negara.
Namun, tekanan kelembapan yang berpanjangan boleh menjejaskan pengeluaran tandan pada masa akan datang, dengan kesan terhadap hasil lazimnya berlaku selepas tempoh tertentu.
“Sekiranya penuaian seterusnya merosot, pengeluaran BTS yang lebih rendah boleh mengetatkan ketersediaan minyak sawit dan menyokong harga MSM hingga 2027,” katanya.
Dalam kalangan penanam, Ta Ann Holdings Bhd (Ta Ann) dan Sarawak Plantation Bhd (SPB) menjadi pilihan utama penganalisis dengan masing-masing diberi saranan BELI dan sasaran harga RM6.72 serta RM5.36.
Kedua-dua syarikat menawarkan pendedahan huluan yang lebih tulen dan mempunyai operasi yang sebahagian besarnya berpusat di Malaysia, dengan kehadiran di Malaysia Timur memberikan pendedahan kepada potensi peningkatan harga MSM.
Bagi syarikat berkapitalisasi besar, penganalisis memilih SD Guthrie Bhd (SDG) dengan saranan BELI dan sasaran harga RM7.65.
Ladang SDG di Malaysia menyumbang kira-kira 54% daripada pengeluaran BTS, manakala usaha penjanaan semula nilai tanah yang sedang dijalankan menyediakan tambahan penampan pendapatan terhadap peningkatan kos pengeluaran industri. - DagangNews.com






