Cuaca panas: Belum ada keperluan laksana PdPR di Terengganu

LocalEnvironment
29 Mar 2026 • 9:45 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kamsah (kanan) ketika meninjau sesi persekolahan di SK Bukit Tumbuh di Kuala Nerus pada Ahad.

​KUALA NERUS - Belum ada keperluan untuk melaksanakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di negeri ini berikutan keadaan cuaca panas yang masih terkawal.

​Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Kamsah@Kamal Mohamed berkata, setakat ini murid dan pelajar masih boleh hadir ke sekolah dengan selamat memandangkan Terengganu hanya mencatatkan suhu maksimum 33 darjah Celsius.

​"Suhu ini masih lagi selamat dan belum sampai ke tahap 35 darjah Celsius yang memerlukan semua aktiviti luar dihentikan," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tumbuh, di sini pada Ahad.

Menyentuh mengenai etika pemakaian, beliau berkata, garis panduan khusus telah pun dikeluarkan sekiranya cuaca terlalu panas di mana pelajar kini tidak perlu lagi memakai tali leher atau mengancing butang baju sehingga ke paras leher.

Tambah beliau, walaupun keadaan cuaca di Terengganu masih terkawal, keselamatan anak-anak di sekolah perlu dipastikan sentiasa terjaga dan sekolah kekal menjadi tempat yang selamat serta mulia untuk mereka menimba ilmu.

​"Pengetua atau guru besar diberi kuasa penuh untuk membenarkan pelajar memakai pakaian sukan (PJK) atau kemeja-T yang sopan sekiranya cuaca panas berterusan.

"​Walaupun Terengganu tidak tersenarai dalam negeri yang memerlukan perhatian serius, semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah perlu sentiasa bersiap sedia bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini," ujarnya.

Beliau berkata, Jabatan Pendidikan akan terus memantau keadaan cuaca dan memberi maklum balas serta mandat kepada sekolah untuk menutup sesi tertentu jika keadaan menjadi terlalu ekstrem.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan sebanyak 206 sekolah di daerah Kota Setar dan Pendang di Kedah akan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selama tiga hari bermula 29 hingga 31 Mac ini susulan cuaca panas.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat selepas kedua-dua daerah merekodkan tahap suhu harian Tahap 2 selama tiga hari berturut-turut bermula 26 hingga 28 Mac lalu.