Cuaca panas: Pastikan pelajar dapat akses air bersih 24 jam

LocalHealth & Fitness
29 Mar 2026 • 10:17 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kamsah (berdiri, dua dari kanan) ketika meninjau sesi persekolahan di SK Bukit Tumbuh di Kuala Nerus, pada Ahad.

​KUALA NERUS - Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) mengarahkan semua sekolah di negeri ini memastikan para pelajar mendapat air bersih pada sepanjang masa selama 24 jam setiap hari bagi mendepani musim cuaca panas.

​Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Kamsah@Kamal Mohamed berkata, fokus utama jabatan pada ketika ini adalah memastikan semua murid dan pelajar mendapat bekalan air minuman yang mencukupi sepanjang mereka berada di sekolah.

​Katanya, pihak sekolah, khususnya yang mempunyai kemudahan asrama, telah diminta untuk menyediakan bekalan air minum yang mencukupi.

​"Hasil perbincangan dengan pihak dewan makan, kita percaya semua sekolah telah menyediakan kemudahan seperti penapis air bagi memudahkan pelajar mengakses air bersih selama 24 jam," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tumbuh, di sini pada Ahad.

​Tambah beliau, JPNT turut mengambil langkah proaktif dengan menjalinkan kerjasama erat bersama rakan-rakan strategik bagi mengelakkan sebarang gangguan bekalan air di sekolah.

​"Kita telah bekerjasama dengan rakan-rakan strategik bagi memastikan sekiranya berlaku sebarang kebocoran air di sekolah, tindakan segera boleh diambil. Kita mahu anak-anak kita tidak terputus bekalan air dan minuman," jelas beliau.

​Bagi memantau keadaan fizikal dan kesihatan para pelajar, beliau berkata, JPNT sentiasa berhubung rapat dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Jabatan Kesihatan Negeri.

"Langkah ini diambil bagi membolehkan pihak jabatan mendapatkan maklumat cuaca yang dikemas kini sebanyak dua kali sehari, iaitu pada waktu pagi dan petang.

​"Kita turut mengingatkan pihak sekolah agar segera menghubungi PKD berhampiran sekiranya terdapat pelajar yang menunjukkan simptom-simptom tertentu bagi membolehkan mereka mendapatkan rawatan segera," ujar beliau.

​Dalam perkembangan sama, beliau berkata, bagi memastikan pesanan mengenai kepentingan penjagaan kesihatan dan pengambilan air sampai terus kepada golongan penjaga, JPNT telah mengambil inisiatif kreatif menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

​"Di Terengganu, mesej mengenai keperluan air dan minuman ini disampaikan melalui video AI agar ia dapat sampai dengan lebih cepat kepada ibu bapa. Kita berharap usaha ini dapat membantu pelajar menghadapi cuaca panas sekarang," katanya lagi.