Cuaca panas: Lebih 86,000 pelajar ikuti PdPR di Kedah

LocalEnvironment
29 Mar 2026 • 12:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Abdul Rahim mengadakan lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Asma, di sini pada Ahad.

ALOR SETAR – Lebih 86,000 pelajar di Kedah terpaksa mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) susulan cuaca panas melampau yang melanda negeri ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Abdul Rahim Mat berkata, pelaksanaan PdPR yang bermula Ahad hingga Selasa itu melibatkan dua daerah iaitu Kota Setar dan Pendang selepas kedua-duanya merekodkan bacaan suhu harian tahap 2 selama tiga hari berturut-turut.

Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan 86,030 pelajar terlibat, seramai 65,634 pelajar adalah dari 154 sekolah di daerah Kota Setar, manakala 20,396 pelajar lagi membabitkan 52 sekolah di Pendang.

“Pelaksanaan PdPR ini selaras dengan garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkaitan pengoperasian institusi pendidikan semasa cuaca panas.

“Ketika ini suhu mencecah hingga 37 darjah Celsius dan keadaan sangat panas. Justeru, JPN mengambil inisiatif melaksanakan PdPR bagi mengelakkan pelajar terdedah kepada cuaca panas, khususnya pada waktu puncak tengah hari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Asma di sini pada Ahad.

Tambah beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan pelaksanaan PdPR akan dilanjutkan sekiranya bacaan suhu semasa terus kekal pada tahap membimbangkan.

“Pemantauan berterusan akan dilakukan berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia). Sekiranya suhu masih berada pada tahap sama dalam tempoh tiga hari akan datang, PdPR akan diteruskan.

“Namun, jika suhu menunjukkan penurunan, sesi persekolahan secara bersemuka akan dijalankan seperti biasa,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Rahim berkata, cuaca panas yang melanda ketika ini tidak menjejaskan kelangsungan sesi pembelajaran memandangkan pihak sekolah dan guru telah membuat persediaan awal sejak minggu lalu.

Katanya, langkah itu turut mengambil kira aspek keselamatan dan kesihatan pelajar yang berisiko terdedah kepada pelbagai komplikasi akibat cuaca panas.

“Kita juga mengingatkan ibu bapa atau penjaga agar memastikan anak-anak tidak terdedah terlalu lama kepada cuaca panas dan sentiasa menjaga kesihatan mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya turut mengambil maklum cabaran yang dihadapi sebahagian pelajar dari segi kekangan peranti dan capaian internet.

“Bagi mengatasi perkara itu, pihak sekolah menyediakan lembaran kerja supaya sukatan pelajaran dapat diteruskan dan diselesaikan seperti yang dirancang,” katanya.

Sementara itu, Pengetua SMK Sultanah Asma, Tengku Fariza Tengku Ibrahim berkata, seramai 201 daripada 217 pelajar asrama di sekolah berkenaan telah kembali ke asrama dan mengikuti PdPR yang bermula hari ini.

Menurutnya, bagi pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3, sesi PdPR dijalankan dari jam 8 pagi hingga 1 tengah hari, manakala pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 pula mengikuti sesi pembelajaran sehingga jam 2 petang.

“Jadual PdPR disusun dengan tempoh satu jam bagi setiap sesi pembelajaran sebelum pelajar diberikan rehat selama 15 minit, sebelum disambung semula,” katanya.