Cuaca panas: 206 sekolah di Kota Setar, Pendang laksana PdPR tiga hari

LocalEnvironment
28 Mar 2026 • 7:55 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sebanyak 206 sekolah di Kota Setar dan Pendang melaksanakan PdPR selama tiga hari susulan cuaca panas tahap 2 bagi memastikan keselamatan pelajar dan guru. - Gambar hiasan

ALOR SETAR – Sebanyak 206 sekolah di daerah Kota Setar dan Pendang akan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selama tiga hari bermula 29 hingga 31 Mac ini susulan cuaca panas.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat selepas kedua-dua daerah merekodkan tahap suhu harian Tahap 2 selama tiga hari berturut-turut bermula 26 hingga 28 Mac lalu.

Menurutnya, langkah tersebut diambil sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid, guru serta warga sekolah sentiasa terpelihara.

“Pelaksanaan PdPR ini selaras dengan garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkaitan pengoperasian institusi pendidikan semasa cuaca panas.

"Pelaksanaan ini melibatkan keseluruhan 206 buah sekolah di bawah seliaan PPD Kota Setar dan PPD Pendang,” katanya pada Sabtu.

Jelas JPN Kedah, sepanjang tempoh pelaksanaan PdPR tersebut, sekiranya keadaan cuaca menunjukkan perubahan kepada tahap normal, pengoperasian sekolah secara bersemuka akan diteruskan semula pada hari berikutnya berdasarkan penilaian semasa.

Menurutnya, keputusan itu akan dibuat berdasarkan penilaian semasa yang mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan.

“JPN Kedah akan terus memantau perkembangan cuaca dari semasa ke semasa sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat,” ujarnya.

Dalam pada itu, semua pihak termasuk pentadbir sekolah, guru, ibu bapa dan penjaga diminta memberikan kerjasama bagi memastikan pelaksanaan PdPR berjalan lancar.

Tambah JPN Kedah, langkah tersebut penting bagi memastikan proses pembelajaran murid tidak terjejas walaupun berdepan keadaan cuaca tidak menentu.

“Cuaca panas yang melanda kebelakangan ini dilaporkan memberi kesan kepada aktiviti harian termasuk sesi persekolahan di beberapa kawasan. Ibu bapa juga dinasihatkan agar memastikan anak-anak berada dalam keadaan selesa dan mendapat rehat secukupnya sepanjang tempoh pembelajaran di rumah.

“Selain itu, murid digalakkan untuk minum air secukupnya dan mengurangkan aktiviti luar bagi mengelakkan kesan buruk cuaca panas,” katanya lagi.

Pada Jumaat, media melaporkan pihak pentadbir dibenarkan menutup operasi sekolah sekiranya cuaca panas melebihi 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Who berkata, perkara berkenaan antara garis panduan yang telah ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sejak 2023 dan boleh diguna pakai sekiranya keadaan cuaca panas dan kering semakin meruncing.