Cuba curi kabel, lelaki tersangkut di tiang MRT TTDI

LocalPolitics
11 Sep 2025 • 2:49 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berusia 30 tahun berdepan detik cemas apabila terperangkap di tiang landasan transit aliran massa (MRT) selepas dipercayai cuba mencuri kabel di Jalan Tun Mohd Fuad, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), semalam.

Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur (PGOKL) dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.41 pagi sebelum menghantar sebuah jentera bersama anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Hartamas ke lokasi.

“Operasi menyelamat dijalankan menggunakan jentera Aerial Ladder Platform (ALP) untuk menurunkan mangsa dengan selamat.

“Mangsa berjaya dibawa turun sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Menurut pihak polis, individu terbabit dipercayai terlibat dalam kegiatan jenayah mencuri kabel,” jelas kenyataan itu, hari ini.

PGOKL memaklumkan, operasi tersebut melibatkan 12 anggota termasuk pegawai pelbagai pangkat.